Orang Asli mahu sekolah, balai bomba

Orang Asli mahu sekolah, balai bomba

MOHD. Syahbuddin Hashim (kanan) menyantuni  kanak-kanak Orang Asli sempena Program Kita Madani di Pos Tuel, Gua Musang, Kelantan, semalam.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 1, 000 keluarga Orang Asli yang menetap di tiga buah pos di jajahan kecil Lojing di sini mendesak kerajaan menyediakan kemudahan sekolah menengah dan balai bomba berhampiran kawasan mereka. 

Rata-rata penduduk dari Pos Brooke, Pos Hendrop dan Pos Tuel itu memberitahu mereka terpaksa menghantar anak mereka ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya yang jaraknya melebihi 60 kilometer.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tuel, Atan Alang berkata, sekolah menengah sudah menjadi keperluan mendesak selari dengan tahap kesedaran mendapatkan pendidikan dalam kalangan penduduk.

“Penduduk Orang Asli di sekitar Pos Brooke, Pos Hendrop dan Pos Tuel makin bertambah setiap tahun dan rata-rata anak-anak sudah didedahkan dengan pendidikan asas di tabika sejak kecil.

“Oleh itu, kami berharap supaya sebuah sekolah menengah dapat dibina bertujuan memastikan tiada keciciran dalam aspek pendidikan dalam  kalangan anak-anak Orang Asli di sini,” katanya ketika ditemui di Pos Tuel di sini hari hari ini.

Dalam perkembangan lain, Atan memberitahu, dia berharap kerajaan dapat membina balai bomba di kawasan Lojing.

Katanya, kedudukan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang yang terletak hampir 100 kilometer dari Tanah Tinggi Lojing menyukarkan kerja-kerja menyelamat jika berlaku kecemasan.

“Situasi itu menyebabkan kami terpaksa menerima bantuan agak lambat kerana kedudukan kampung yang jauh dari kawasan bandar. 

“Kawasan Lojing kini sudah semakin membangun apabila mempunyai banyak pejabat wakil agensi kerajaan dan juga kemudahan seperti Klinik Kesihatan di Pos Brooke,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya sudah memohon sekolah menengah dan balai bomba di kawasan Tanah Tinggi Lojing untuk kemudahan penduduk Orang Asli di kawasan tersebut.

Katanya, penempatan dan jumlah penduduk bertambah maka satu keperluan sekolah menengah dan balai bomba perlu dibina di kawasan itu. 

“Sebuah balai bomba perlu dibina di kawasan Tanah Tinggi Lojing di sini bagi membolehkan anggota bomba mengambil tindakan segera menangani sebarang kes kecemasan di kawasan perkampungan Orang Asli. 

“Kita berharap akan ada satu balai bomba dibina di kawasan Lojing kerana kedudukannya juga bersempadan dengan Cameron Highlands dan menjadi laluan untuk ke Ipoh, Perak,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya