No DAP, No Anwar!, Melayu mudah lupa bersama PH -Abdul Hadi 

No DAP, No Anwar!, Melayu mudah lupa bersama PH -Abdul Hadi 

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang Melayu yang menyertai dan bersama Pakatan Harapan (PH) dilihat terdiri daripada kalangan Melayu yang mudah lupa, khususnya para pemimpinnya.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, banyak kenyataan mereka yang terdahulu kini dilupakan dengan merujuk kepada kenyataan awal mereka sebelum menjadi kerajaan dan selepas menjadi kerajaan. 

Dakwa beliau, kenyataan bersemangat terawal dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, berulang kali di hadapan para perwakilan dari seluruh negara. 

“Laungan yang diulangi, ‘No DAP! No Anwar!’. Kini, pemimpin UMNO pula bersekongkol dengan mereka yang dilaungkan itu dengan penuh mesra dan akrab, malah, membuat kenyataan untuk bersama dalam pilihan raya negeri (PRN) sehingga membelakangi dasar dan perjuangan parti. 

“Adapun kalangan PKR pula berdegar-degar dengan laungan ‘reformasi!’ dan berjuang ingin menghapuskan rasuah, salah laku, kronisme, nepotisme, dan lain-lain. Rupa-rupanya, apa yang mereka lakukan itu laksana lakonan semata-mata. 

“Tiba-tiba, PKR pun bersekongkol dengan kelompok yang mengamalkan kronisme, nepotisme, dan banduan yang dihukum serta kluster mahkamah bagi mencukupkan jumlah untuk menubuhkan kerajaan,” dakwanya dalam Minda Presiden Pas yang dimuat naik di satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Abdul Hadi mendakwa, banyak janji kepada rakyat sebelum pilihan raya ditaburkan sama ada secara tulisan atau melalui ucapan. 

Beliau mendakwa, janji mudah itu adalah seperti menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam sekiranya menjadi kerajaan, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghapuskan tol serta banyak lagi. 

“Selepas berjaya mengambil alih kerajaan melalui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), semua janji dan ucapan itu tenggelam dimakan masa. Melayu yang mudah lupa bersamanya terus menyambung perjuangan yang sama. 

“Perbuatan buruk mereka itu berkekalan sehinggalah mereka mengambil alih kerajaan selepas PRU15 dengan sokongan Melayu yang mudah lupa juga. 

“Keadaan yang sama masih terus berulang dengan kenyataan-kenyataan yang dinafikan kemudiannya,” katanya. 

Selain itu, Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, ‘mereka’ melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa pelantikan bermula daripada Yang di-Pertuan Agong sehinggalah para jemaah menteri dan ketua jabatan mestilah daripada kalangan mereka yang bersih. 

Dakwa beliau, ia termasuk segala perkara yang masih terikat dengan tuduhan-tuduhan yang wajib dibuktikan di mahkamah itu selesai. 

“Konsep yang tegas dalam Perlembagaan Persekutuan itu dilanggar oleh mereka sehingga berlagak lebih daripada Duli Yang Maha Mulia Raja-raja. 

“Pada masa yang sama, menggunakan raja-raja menjadi pelindung sewenang-wenangnya tanpa menghormati konsep raja berperlembagaan,” dakwanya. 

Beliau menambah, Islam mewajibkan sifat ‘adil dalam perkara yang besar, bermula dengan kesaksian jenayah sehinggalah saksi melihat anak bulan Ramadan dan Syawal untuk berpuasa dan berhari raya. 

Jelasnya, mengikut hukum Islam, pelantikan jawatan penting dalam kerajaan seperti hakim sehinggalah ketua negara adalah wajib bersifat adil atau tidak fasiq yang mana ia termasuk dalam sifat itu adalah berbohong.

“Al-Quran menghukum fasiq terhadap sesiapa yang membawa berita bohong. Rasulullah SAW juga sangat tegas memperingatkan umatnya supaya sentiasa bercakap benar, jangan berbohong, dan jangan membiasakan diri dengan suka berbohong. 

“Maka, penganut Islam tidak boleh menyokong pembohong, bahkan bukan Islam yang bermaruah juga sama-sama tidak boleh menyokong pembohong,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya