Nekad ulang SPM, penghuni Sekolah Henry Gurney berjaya

Nekad ulang SPM, penghuni Sekolah Henry Gurney berjaya banggakan ibu

AMIRUL menunjukkan replika cek yang diterimanya selepas dipilih Pelajar Terbaik SPM 2022 kategori SHG pada Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SPM 2022 SI dan SHG di Telok Mas, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penghuni Sekolah Henry Gurney (SHG), Telok Mas di sini yang memperoleh keputusan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 nekad menduduki semula peperiksaan itu demi membanggakan ibunya.

Pesalah juvana yang mahu dikenali sebagai Amirul, 20, berkata, dia yang sebelum ini bersekolah di Shah Alam, Selangor telah mendaftar untuk SPM 2020, tetapi kesalahan berkaitan seksual dilakukannya menyebabkannya dimasukkan ke SHG pada Julai 2020.

Katanya, kemasukan ke SHG bukan suatu yang mudah untuk diterima ditambah pula kematian ayahnya pada 2021 menyebabkan dia mula ‘membuat’ perangai.

“Waktu itu saya tidak boleh terima dan mula buat masalah di dalam (SHG). Saya menduduki SPM 2020 tetapi tidak boleh fokus belajar kerana saya ditempatkan di blok penerimaan.

“Blok itu hanya untuk belajar kawad dan membiasakan rutin harian di SHG. Apabila saya mendapat giliran untuk menghubungi keluarga, mak menasihati saya supaya bersabar.

“Dari situ saya semakin pulih dan mengambil keputusan untuk menduduki sekali lagi SPM pada tahun lalu. Alhamdulillah, menjadi impian saya untuk membanggakan ibu setelah banyak membuat dia menitiskan air mata sebelum ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SPM 2022 Sekolah Integriti (SI) dan SHG di sini, semalam.

Tambah Amirul, dia tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang 7A, 2C dan 1D kerana belajar dalam suasana berbeza berbanding sekolah harian biasa.

Kata Pelajar Terbaik SPM 2022 kategori SHG itu, belajar tanpa gajet dan banyak menulis tangan membantunya mengingati kata kunci penting.

“Dekat dalam (SHG) langsung tidak gunakan teknologi seperti tablet dan lebih banyak menulis tangan. Bagi saya itu sangat bagus kerana membantu daya ingatan.

“Cikgu juga kerap memberi latihan soalan peperiksaan tahun-tahun sebelum ini dan soalan ramalan. Dari situ saya dapat membaca gaya soalan dan kaedah untuk menjawabnya,” ujarnya yang bercita-cita menjadi guru bahasa Inggeris. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya