PONTIAN: Dalam tempoh kurang setengah jam, 250 bungkus nasi lemak yang dijual pada harga RM1 oleh pasangan suami isteri ‘licin’ dibeli orang ramai di hadapan Masjid Jamek Parit Semerah, setiap pagi.
Walaupun dibayangi dengan peningkatan mendadak harga bahan mentah pada ketika ini, bukan halangan untuk pasangan tersebut menjualnya dengan harga RM1 sebungkus.
Zainal Abidin Kasimin, 28, mengakui idea untuk menjual nasi lemak pada harga RM1 dicadangkan isterinya, Nur Afiqah Zainuddin, 28, yang pernah sebagai eksekutif di sebuah kilang di Kempas, Johor Bahru, namun memilih untuk berhenti selepas kelahiran anak kedua mereka.
Anak kedua berusia enam bulan itu merupakan anak istimewa dan ketika ini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sejak lahir kerana memerlukan bantuan oksigen.
“Perniagaan nasi lemak ini dibuka seawal pukul 7 pagi memandangkan saya bekerja di Gelang Patah, Johor Bahru dan perlu bergerak 7.30 pagi selepas jualan nasi lemak selesai.
“Saya akan susun atur gerai dahulu dan menghantar tempahan pelanggan dan isteri akan berada di gerai bagi melayan pelanggan yang datang membeli nasi lemak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Zainal Abidin berkata, pada kebiasaannya nasi lemak akan habis dijual pada pukul 7.30 pagi atau selewat-lewatnya 8 pagi yang dibeli oleh orang ramai yang melalui Jalan Parit Semerah.
“Nasi lemak akan dimasak sebelum tidur dan kerja-kerja membungkus bermula pada pukul 4.30 pagi sehingga selesai dengan menggunakan sebahagian daun pisang dan kertas pembungkus. Nasi lemak yang dihasilkan dengan resepi sendiri itu mempunyai sambal ikan bilis dan sepotong telur dadar.
“Sambil jual murah, kami jadikan jualan ini sebagai bentuk perkongsian rezeki kepada orang ramai termasuk murid-murid sekolah,” katanya yang sudah berniaga sebulan di depan Masjid Jamek Parit Semerah.
Mereka menggunakan empat hingga lima kilogram beras serta 20 hingga 25 biji telur bagi menghasilkan sebanyak 250 bungkus nasi lemak tersebut
Walaupun dijual pada harga murah, mereka masih memperolehi untung yang akan digunakan bagi membiayai perubatan anak istimewanya yang dijangka akan dibenarkan keluar dari hospital sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha ini.-UTUSAN