KOTA BHARU: Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang masih lagi berteka-teka mengenai nasib bekas Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sama ada akan diangkat sebagai calon atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan nanti.
Ahli Parlimen Marang itu sebaliknya berkata, perkara tersebut hanya akan diketahui pada hari penamaan calon nanti.
“Berkenaan Nik Abduh, sama ada namanya diangkat sebagai calon atau tidak tunggu hari penamaan calon.
“Kita tengok nama beliau (Nik Abduh) naik atau tidak. Insya-Allah akan ada kejutan pada ketika itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai masa depan anak bekas Mursyidul Am Pas Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu pada PRN Kelantan nanti.
Terdahulu, Abdul Hadi merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Abdul Hadi memberitahu, tapisan calon masih berjalan dan Majlis Syura Ulamak akan bermesyuarat minggu depan sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.
Katanya, tiada sebarang usaha untuk memadamkan legasi Nik Abdul Aziz dengan mengetepikan Nik Abduh sebagai calon PRN.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Nik Abduh mendedahkan tidak menerima ‘lamaran’ daripada Pas atau mana-mana parti politik untuk menjadi calon pada PRN nanti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, tiada keperluan untuk beliau bertanding pada PRN nanti berikutan wakil-wakil rakyat yang ada pada ketika ini sudah menunjukkan prestasi terbaik.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) Nik Abduh yang merupakan penyadang kerusi Parlimen Bachok tidak dicalonkan.
Sebaliknya, Nik Abduh digantikan oleh Mohd. Syahir Che Sulaiman.-UTUSAN