KOTA BHARU: Umat Islam yang sudah menyelesaikan rukun Islam kelima dan bergelar alumni haji perlu menjadi ejen penyatuan ummah dengan memupuk semangat perpaduan menerusi pengalaman semasa berada di padang Arafah.
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, rukun Islam kelima mempunyai peranan sangat besar dalam mengubah masyarakat.
Menurutnya, ibadat itu tidak seharusnya dilihat dari sudut hukum dan hukum fekah semata-mata sebaliknya memerlukan penghayatan tinggi agar memberi kesan berkekalan.
“Kerana itu alumni-alumni haji perlu menyuburkan kesan ketika berada di tanah suci Makkah termasuk di Arafah.
Arafah adalah tempat perhimpunan raya umat Islam dari serata dunia sekali gus menjadi tempat penyatuan ummah.
“Kenapa bila berada di situ kita boleh bersatu tetapi bila pulang ke negara masing-masing tiba-tiba kita berpecah belah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan program Arafah #QuranHour: Syukur Membina Takwa di Masjid Sultan Muhammad II, Telipot, di sini hari ini.
Mohamad Shukri memberitahu, situasi sebegitu seolah-olah menampakkan amalan-amalan haji yang dikerjakan tidak membawa apa-apa kesan kepada jemaah dan masyarakat.
Katanya, perhimpunan umat Islam serata dunia di Arafah sepatutnya melatih pemikiran global dalam kalangan jemaah haji dan doa-doa yang dipanjatkan seharusnya memberi kesedaran bahawa kita hanya manusia kerdil yang sentiasa mengharap pertolongan Allah sepanjang masa.
“Penghayatan ibadat haji perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Tidak boleh sekadar jaga hukum-hakam supaya ibadat haji itu sah dan tidak terbatal semata-mata. Sepatutnya selepas mengerjakan ibadat haji, satu perubahan besar akan berlaku.
“Tetapi pada masa kini kita lihat kesan itu tidak menjadi kenyataan dan kerana itulah mungkin program-program sebegini patut dianjurkan supaya ia dapat terus menyemarakkan kesan daripada mengerjakan ibadat haji itu sendiri,” ujarnya.-UTUSAN