MN hantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

MN hantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

BADRUL Hisham Shaharin (tiga dari kiri) menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di pintu masuk Istana Hinggap di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 30 Jun ini, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional (MN) hari ini menyerahkan memorandum kepada pihak Istana Negeri Sembilan. 

Memorandum tersebut menyatakan taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Minawir selaku pemerintah tertinggi di negeri ini dan memohon perhatian baginda untuk meneliti beberapa dakwaan berkaitan salah laku kerajaan negeri dan agensi berkaitan kerajaan negeri.

Pengerusi MN Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin berkata, tindakan daripada baginda dianggap penting bagi mengelakkan kesalahan yang sama berulang dalam pembentukan kerajaan selepas pilihan raya negeri (PRN) kelak.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Che’gu Bard memberitahu, isu yang dibangkitkan dalam memorandum tersebut bukan lagi rahsia tetapi sudah pun diketahui secara meluas oleh masyarakat umum.

“Peranan Tuanku dalam isu tersebut amat penting terutamanya baginda adalah institusi tertinggi yang akan menandatangani dokumen pengisytiharan pembubaran DUN.

“Harapan kami baginda akan menyatakan kepada kerajaan negeri supaya menyelesaikan semua masalah dan isu kerana ia boleh menjadi beban kepada kerajaan dan rakyat jika tidak diselesaikan,” katanya kepada pemberita di pekarangan Istana Hinggap dekat sini hari ini.   

Kumpulan itu kemudian masuk ke dalam Istana Hinggap untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada seorang pegawai istana.

Mengulas lanjut Badrul Hisham berkata, beberapa isu dibangkitkan pihaknya dalam memorandum berkenaan yang menurutnya masih perlu diselesaikan secara tuntas.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN