Melaka cadang bina semula Mendam Berahi

Melaka cadang bina semula Mendam Berahi

REPLIKA kapal Mendam Berahi berskala 1:28 dipamerkan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka sempena Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri mencadangkan pembinaan semula replika kapal Mendam Berahi yang pernah menjadi kebanggaan zaman Kesultanan Melayu Melaka sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, kapal yang dipercayai wujud sezaman dengan Laksamana Hang Tuah itu merupakan antara kehebatan bangsa Melayu dan wajar menjadi tatapan generasi masa kini.

Katanya, antara lokasi yang dicadangkan adalah di Klebang dekat sini, bersebelahan Muzium Kapal Selam.

“Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam semasa ucapannya ada menyebut kita bukan sahaja mewariskan kekayaan tetapi juga warisan jati diri bagi orang Melayu dengan menunjukkan kehebatan orang terdahulu.

“Justeru, Melaka meminta pertimbangan yang sewajarnya daripada Kementerian Perpaduan Negara untuk membangunkan semula kapal ini berdasarkan dapatan terakhir pada seminar ini untuk dilaksanakan pada tahun depan. Terdapat beberapa lokasi diberikan keutamaan antaranya di Klebang bersebelahan Muzium Kapal Selam.

“Selain itu, Melaka juga berharap untuk membawa pulang Kapal Diraja (KD) Hang Tuah yang kini berada di Lumut, Perak. Usaha ini sebagai tanda apa-apa yang berkait dengan Hang Tuah adalah hebat kerana bermula di Melaka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan seminar berkenaan, Zaidi berkata, ia bertujuan untuk memastikan sama ada kapal yang pernah digeruni musuh itu sekadar mitos atau pernah wujud.

Menurutnya, peserta seminar terdiri daripada pakar-pakar sejarah dari universiti tersohor dalam negara serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pernah membentangkan kajian berhubung Mendam Berahi di seluruh dunia.

“Walaupun terdapat dalam catatan sejarah, realitinya masih menjadi satu persoalan yang belum terjawab. Seminar ini bertujuan untuk menilai kebenaran di sebalik catatan tersebut.

“Dapatan keputusan masih belum ada tetapi semua kajian yang telah dibuat akan dikumpulkan pada program ini. Saya percaya kolaborasi dan usaha bersama akan dapat menyingkap fakta dan sejarah di sebalik kapal Mendam Berahi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya