MELAKA: Kerajaan negeri akan menjadikan Melaka Agrofest sebagai antara tarikan utama sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Beliau berkata, festival yang merupakan penjenamaan semula Hari Peladang, Penternak dan Nelayan itu bakal diangkat menjadi lebih besar dengan tempoh penganjuran dipanjangkan selama seminggu, berbanding hanya tiga hari pada tahun ini.
Jelasnya, lokasi penganjuran sempena TMM 2024 dicadang dilaksanakan di Dataran Sejarah Ayer Keroh dan Melaka Tropical Fruit Farm Sungai Udang, memandangkan acara berkenaan bakal dibuat sempena musim durian khusus untuk menarik kunjungan pelancong.
“Kita cadangkan acara pesta makan durian itu diadakan di Melaka Tropical Fruit Farm Sungai Udang bagi menikmati musim buah-buahan di kawasan itu. Namun, acara utama seperti gerai pameran dan persembahan akan kekal diadakan di Dataran Sejarah Ayer Keroh.
“Kita berharap acara yang dimasukkan ke dalam kalendar TMM 2024 ini dapat menarik kehadiran pelancong untuk menikmati kepelbagaian hasil pertanian di bumi Melaka,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Melaka Agrofest 2023 di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ab. Rauf berkata, geografi bumi Melaka yang pelbagai dilihat sangat sesuai dan berpotensi untuk pertanian, di mana ia merentasi 108 sungai sepanjang 673 kilometer (km), jarak pesisir pantai sepanjang 120.5 km dan tanah-tanah untuk tanaman.
“Berdasarkan Kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia), seluas 11,398.67 hektar kawasan pengeluaran makanan di Melaka telah direkodkan pada 2021, merangkumi kawasan perikanan, pertanian, penternakan dan lain-lain.
“Melalui kajian ini juga, menjelang 2040, saya dimaklumkan sekurang-kurangnya seluas 21,757.63 hektar atau 13.01 peratus kawasan pengeluaran makanan perlu dijamin untuk memastikan sekuriti makanan dapat dicapai secara holistik,” jelasnya. – UTUSAN