KUALA LUMPUR: Akhbar Utusan Malaysia di bawah kendalian syarikat Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) berjaya menggondol tiga kategori Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2022 yang berlangsung di Hotel Majestic di sini malam ini.
Penolong Ketua Kreatif Utusan Malaysia, Mohamad Sany Misnan dinobatkan Pemenang Emas bagi kategori Infografik Terbaik menerusi karya bertajuk ‘Bakal Pupus’ yang membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta sijil dan trofi.
Jurufoto Utusan Malaysia, Muhammad Fariz Rusadio pula dinobatkan sebagai Pemenang Perak bagi Kategori Kewartawanan Foto Cemerlang apabila gambarnya bertajuk ‘Kasih Ibu’ terpilih dan membawa pulang wang tunai RM1,500 dan sijil.
Bagi kategori Laporan Berita Cemerlang, Wartawan Eksekutif Utusan Malaysia, Fahmi Faiz pula merangkul Pemenang Perak dengan berita bertajuk ‘Kartel Kawal Harga Ayam’ dan membawa pulang wang tunai RM1,500 beserta sijil.
Sementara itu, akhbar Kosmo! yang turut bernaung di bawah syarikat Media Mulia diangkat sebagai Pemenang Gangsa dalam kategori Infografik Terbaik melalui karya bertajuk ‘8 Pandemik Terburuk Landa Dunia’ menerusi Penolong Ketua Kreatifnya, Arma Rizal Abu Bakar.
Arma Rizal membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta sijil.
Kesemua hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya berkata, matlamat tersirat anugerah ini diwujudkan adalah untuk menyemarakkan dan menyuburkan kewartawanan beretika serta bertanggungjawab dengan menjunjung prinsip kewartawanan yang mulia.
Menurutnya, antara prinsip tersebut adalah menghasilkan karya pelaporan yang berteraskan kebenaran, ketepatan fakta dan maklumat selain meminimumkan kemudaratan, bertimbang rasa serta dapat memberi pencerahan kepada khalayak mengenai isu-isu dan peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka.
“Kelahiran Hadiah Kewartawan Malaysia pula dimodelkan daripada Hadiah Kewartawanan Pulitzer atau Pulitzer Prize yang terdapat di Amerika Syarikat. Bezanya cuma, hadiah wang tunai kepada pemenang Pulitzer dibiayai oleh wang yang diwasiatkan oleh jutawan yang bernama Joseph Pulitzer,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa, MPI selaku penganjur, tiada pengaruh dalam memilih para pemenang.
“Sebaliknya, siapa yang menang ditentukan secara merit oleh sebuah panel hakim yang terdiri daripada wartawan veteran yang tidak lagi berkhidmat dengan mana-mana organisasi media dan ahli-ahli akademik dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi,” katanya.
Dalam pada itu, Chamil turut mengumumkan berita baik bahawa Petronas bersetuju untuk menaja HKM untuk tempoh tiga tahun lagi mulai tahun hadapan.
“Dengan kategori yang bertambah untuk penyertaan radio dan televisyen. Butirannya akan diumumkan kemudian,” katanya. -UTUSAN