BATU PAHAT: MCA bertekad untuk mendekati golongan yang kali pertama mengundi dalam menjalin hubungan erat dengan mereka, terutamanya generasi muda.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata golongan berkenaan akan sentiasa terdedah dan kadangkala terpengaruh dengan media sosial, rakan dan saluran yang tidak tepat, sekali gus mengundi calon dan parti yang tidak tepat.
Justeru, MCA akan mendekati golongan berkenaan untuk menyampaikan serta memberi pemahaman kepada pengundi muda itu tentang realiti sebenar dalam dunia politik.
“Saya rasa mereka ini tidak lagi terikat dengan mana-mana pengamal politik, masih samar-samar dan tidak faham serta masih lagi mencari setiap jawapan dalam politik.
“Kalau kita tidak mendampingi, kita terlepas peluang untuk mengajar mereka dan menunjukkan cara mengundi (membuat pilihan yang betul pada pilihan raya akan datang),” katanya selepas merasmikan Kursus Ahli MCA baharu di Pejabat Ahli Parlimen Ayer Hitam, dekat sini.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, MCA sentiasa mengalu-alukan ahli baharu yang menyertai parti berkenaan dan berharap mereka tidak menjadikan parti itu sebagai platform untuk mendapatkan kedudukan.
“Kita di MCA mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menjadi ahli, terutamanya yang berhasrat untuk menyumbang khidmat terbaik kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN