KLUANG: Seorang wanita maut, manakala enam yang lain cedera dengan dua daripadanya parah dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta dan sebuah lori di Kilometer 77, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi melibatkan sebuah kereta Perodua Viva dinaik lima beranak dipandu seorang wanita, sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang dan sebuah lori pasir.
Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika pemandu lelaki bersama rakannya serta lori pasir dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam ke Simpang Renggam, manakala pemandu wanita dikenali sebagai Nor Hayati Ahmad, 45, datang dari arah bertentangan.
“Sebaik sampai di lokasi, pemandu lelaki yang dikenali sebagai Adam Chua, 20, secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentang lalu bertembung dengan kereta dipandu Nor Hayati.
“Akibat pertembungan itu, kereta Perodua Axia dipandu oleh Adam Chua berpusing dan masuk semula ke laluan asal sebelum dilanggar oleh sebuah lori pasir yang dipandu oleh Mohamad Aidil, 20-an.
“Kejadian itu juga menyebabkan Nor Hayati maut di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan di bahagian dada dan kaki, manakala empat anaknya yang berusia enam hingga 16 tahun cedera dan masing-masing dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom serta Klinik Kesihatan Simpang Renggam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Bahrin, kemalangan itu berlaku ketika wanita berkenaan dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah berhampiran kawasan kemalangan.
Adam Chua dan rakannya turut mengalami kecederaan pada bahagian dada, perut dan kaki serta kini dirawat di Hospital Pakar KPJ Kluang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN