PUTRAJAYA: Perjanjian Rentas Sempadan antara Indonesia dan Malaysia antara enam instrumen dua hala yang dimeterai pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Majlis berkenaan bersempena lawatan kerja dua hari Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia.
Pada perjanjian instrumen pertama itu, MoU berkenaan ditandatangani Menteri Dalam Negeri Indonesia, Muhammad Tito Karnavian dan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Bagi Instrumen kedua ialah mengenai perjanjian Perdagangan Sempadan antara Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Tengku Zafrul turut menandatangani MoU dengan Menteri Pelaburan Indonesia, Bahlil Lahadalia mengenai Kerjasama Promosi Pelaburan.
Pada masa sama, Pengerusi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal bagi Indonesia, Muhammad Aqil Irham menandatangani MoU bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff bagi pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal bagi Produk Domestik.
Dua lagi perjanjian lagi ialah berkaitan keselamatan perairan iaitu Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Bahagian Paling Selatan Selat Melaka dan Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi.
Terdahulu, Joko Widodo tiba di Kompleks Seri Perdana disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengadakan perbincangan empat mata seterusnya menyaksikan pertukan enam instrumen perjanjian itu. – UTUSAN