PETALING JAYA: Pengurangan cukai taksiran untuk pemilik rumah mampu milik harus diperluaskan ke seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak, tetapi secara berperingkat.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, pengurangan cukai tersebut boleh membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana mengurangkan bebanan dan dalam waktu yang sama menambah wang tunai boleh guna.
“Tetapi sebelum dilaksanakan, pihak tertentu perlu mengadakan perbincangan bersama kerajaan setiap negeri supaya apa yang dilakukan dapat berjalan seperti yang dirancang, kerajaan tidak terbeban dengan pengurangan hasil dan rakyat dapat menikmati pengurangan tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 25,677 pemilik rumah mampu milik di ibu negara akan menikmati pengurangan cukai sebanyak 25 peratus bermula penggal kedua iaitu Julai sehingga Disember tahun ini.
Inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu adalah bagi kategori rumah kediaman mampu milik yang telah siap selepas 2014 sehingga kini dan pengurangan 25 peratus itu adalah sehingga penilaian semula dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau berkata, setiap projek atau inisiatif yang dirancang untuk memudahkan rakyat perlu melalui perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan.
“Ini kerana, setiap projek yang dijalankan bukan hanya berlandaskan politik dan mengambil jiwa rakyat, tetapi benar-benar ke arah membantu rakyat mengurangkan beban mereka,” katanya.-UTUSAN