SEREMBAN: Seorang lelaki warganegara Myanmar yang cuba melintas lebuh raya maut selepas dilanggar kereta dan kemudian digilis bas ekspres dalam kejadian di Kilometer 263.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku lebih kurang pukul 9.20 malam melibatkan dua buah kereta, sebuah bas ekspres dan seorang pejalan kaki.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Altis yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 42 tahun seorang diri sedang bergerak di lorong paling kanan lebuh raya dari arah Rembau menuju ke arah Setia Alam.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, telah datang seorang pejalan kaki yang merupakan lelaki warganegara Myanmar berusia 24 tahun melintas lebuh raya dari arah bahu kiri menuju ke tembok tengah pembahagi lebuh raya di hadapan kenderaan itu.
“Kereta tersebut cuba menekan brek namun terlanggar mangsa pejalan kaki. Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa pejalan kaki telah tercampak ke lorong tengah lebuh raya.
“Kemudian, datang sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berumur 46 tahun berada di lorong tengah dari arah sama telah membrek dan mengubah haluan ke lorong kiri untuk mengelak mangsa namun telah dilanggar pula dari arah belakang oleh sebuah bas ekspres yang membawa 44 orang penumpang.
Impak pelanggaran telah menyebabkan bas terlibat hilang kawalan lalu menggilis mangsa pejalan kaki sejauh lebih kurang 20 meter di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Arifai, akibat kemalangan, mangsa pejalan kaki mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan seluruh badan dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala kesemua pemandu dan penumpang yang lain tidak mengalami apa-apa kecederaan.
“Mangsa pejalan kaki telah dikeluarkan oleh pihak bomba dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk pengendalian bedah siasat,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan atau mengenali mangsa bernama Nay Than Soe, boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhamad Alif Ab Jalil di talian 0182029479 atau 06-6033222 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-UTUSAN.