Laporan psikitari belum siap, Yasin masih jalani pemeriksaan

Laporan psikitari belum siap, Yasin masih jalani pemeriksaan mental -Pendakwa

MUHAMMAD YASIN SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, pihak pendakwaan masih belum memperoleh laporan psikiatri penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman bagi menentukan sama ada artis itu layak dibicarakan atas pertuduhan dadah.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memaklumkan, penyanyi itu masih menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak, sejak bulan lalu.

Pada 8 Mei lalu, Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad memerintahkan Muhammad Yasin, 48, dirujuk ke hospital berkenaan selepas membenarkan permohonan peguam Ariff Azami Hussein mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Ketika kes disebut di hadapan Nik Nasimah hari ini, Ahmad Zuhaini memberitahu, laporan tersebut masih belum siap dan pihaknya memohon satu lagi tarikh sebutan bagi memaklumkan perkembangannya.

Sementara itu, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Muhammad Yasin berkata, laporan psikiatri masih dalam proses untuk disiapkan dan pihak hospital mempunyai masa maksimum dua bulan untuk melengkapkannya.

Sehubungan itu, Nik Nasimah menetapkan 6 Julai ini bagi sebutan semula kes dan status laporan psikiatri Muhammad Yasin.

Dalam prosiding sebelum ini, pihak pembelaan memaklumkan, terdapat asas yang kuat agar kesihatan mental Muhammad Yasin diperiksa oleh pakar psikiatri.

Tambahnya, pemerhatian juga perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak dibicarakan atas pertuduhan yang dihadapinya.

Pihak pembelaan turut mengemukakan lima laporan perubatan yang antara lainnya mengesahkan sejarah kesihatan mental Muhammad Yasin yang menghidap penyakit Bipolar Disorder Jenis 1 sejak 2007.

Jelas Ariff Azami, laporan-laporan itu juga menunjukkan Muhammad Yasin pernah diserang simptom yang boleh membahayakan dirinya.

Ujar peguam itu, laporan yang dikeluarkan oleh University Malaya Specialist Centre (UMSC) mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Muhammad Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawa.

Pada 15 Mac lalu, Muhammad Yasin gagal dalam permohonan representasi ketiganya untuk mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapi.

Ia berikutan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak permohonan yang dikemukakan Muhammad Yasin berhubung ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Muhammad Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Muhammad Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu memberi dirinya dadah berbahaya ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, tarikh sama. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya