Lampu isyarat simpang Tol Ayer Keroh: JKR diberi masa 2 minggu

Lampu isyarat simpang Tol Ayer Keroh: JKR diberi masa 2 minggu

HAMEED MYTHEEN KUNJU BASHEER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri diberi masa dua minggu untuk membuat kajian kebolehlaksanaan pemasangan lampu isyarat di persimpangan Jalan Durian Tunggal dan Jalan Tun Abdul Razak berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum sesuatu keputusan dibuat antaranya purata kenderaan yang melalui jalan tersebut dan jarak plaza tol ke simpang berkenaan.

Katanya, laluan masuk melalui plaza tol yang terlalu hampir dengan simpang dibimbangi akan mengganggu aliran trafik sekiranya lampu isyarat dipasang.

“Saya telah minta JKR untuk buat kajian lalu lintas dalam tempoh dua minggu. Kalau rasa (kajian) bersesuaian, kita akan pasang (lampu isyarat).

“Kawasan tersebut berada terlalu hampir dengan laluan masuk utama ke Melaka melalui Plaza Tol Ayer Keroh. Jadi kita mahu lihat dulu daripada segi jalan (jarak) dengan tol adakah boleh diletakkan lampu isyarat.

“Kita bimbang akan mengganggu pintu masuk terutama ketika musim-musim tertentu seperti cuti sekolah dan cuti hujung minggu. Saya akan mendapatkan maklum balas daripada JKR dalam tempoh seminggu lagi,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, ketiadaan lampu isyarat di persimpangan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh menyebabkan penduduk sekitar Durian Tunggal terpaksa menunggu antara 15 hingga 30 minit untuk melintas jalan pada waktu puncak dan cuti umum.

Penduduk juga terpaksa mengambil risiko dengan memperjudikan keselamatan diri semasa melintasi simpang berkenaan kerana jalan utama empat lorong itu sentiasa dilalui pelbagai kenderaan termasuk lori dan treler dari Jalan Tun Abdul Razak dan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) yang masuk dan keluar Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya