Laluan masuk ke Kelantan mulai sesak

Laluan masuk ke Kelantan mulai sesak

ALIRAN trafik kelihatan sejak menuju persimpangan lampu isyarat di Bandar Gua Musang, Kelantan-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Laluan masuk ke negeri ini mulai sesak apabila anak Kelantan di perantauan mula pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidiladha esok.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Jalan Gua Musang-Kuala Krai mendapati pertambahan jumlah kenderaan dapat dilihat sejak malam tadi.

Seorang perantau, Mohd. Jailani Mohd. Asri, 39, berkata, dia dan keluarga terpaksa menempuh perjalanan hampir 10 jam dari Shah Alam untuk tiba di Gua Musang.

Menurutnya, sepanjang perjalanan itu dia menempuh beberapa kesesakan terutamanya menuju ke bandar Raub dan Kuala Lipis.

“Keadaan jalan susur masuk ke Gua Musang turut sesak teruk sehingga ada masanya kenderaan langsung tidak bergerak.

“Apabila sampai di Gua Musang aliran trafik turut perlahan apabila jumlah kenderaan makin bertambah menyebabkan berlaku kesesakan di kawasan lampu isyarat berhampiran Masjid Faiz dan di hadapan restoran makanan segera (KFC),” katanya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi berkata, kenderaan pengguna dari luar Kelantan mula masuk ke negeri ini sejak kelmarin.

Katanya, kenderaan mula bertambah sejak semalam dan hari ini semakin ketara serta trafik perlahan di beberapa tempat terutama di lampu isyarat di hadapan KFC menuju ke Kuala Krai.

 

 

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di laluan Bukit Yong, Pasir Puteh yang merupakan salah satu pintu masuk ke negeri ini dari Terengganu mendapati jalan tersebut lenggang.

Seorang peniaga kedai makan Kamarudin Ahmad, 48, berkata, dia tidak menolak kemungkinan anak perantau memilih laluan Kuala Lipis-Gua Musang-Kuala Krai yang lebih jimat dan dekat berbanding Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

“Persediaan saya menyediakan aneka lauk-pauk dan juadah tengah hari yang banyak meleset apabila laluan ini tidak sesak sebagaimana dahulu.

“Namun saya masih berharap laluan ini akan mula sesak bermula jam 4 petang hingga 7 malam. Mungkin yang bekerja di Pantai Barat hari ini akan pulang ke kampung halaman lewat sedikit,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya