LADA sedia untuk besarkan MIEC

LADA sedia untuk besarkan MIEC

RUANG pameran yang dicadangkan untuk diperbesar bagi menempatkan lebih ramai pempamer pada acara dwitahunan LIMA di MIEC, Padang Matsirat di Langkawi. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi cadangan membesarkan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Padang Matsirat, di sini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Perancangan dan Pembangunan) LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, pihaknya menyambut baik cadangan yang dilontarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, baru-baru ini.

Cadangan itu dibuat bagi menempatkan lebih banyak pempamer pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) yang dijangka terus dilaksanakan pada 2025 nanti.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan bagi memperincikan lagi langkah yang perlu diambil untuk membesarkan dewan tersebut.

“Kita perlu melihat perancangan yang perlu dibuat supaya persediaan yang dilakukan dapat memenuhi hasrat penganjur,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks LADA, di sini, semalam.

Pada sidang akhbar penutup LIMA ‘23 Sabtu lalu, Mohamad memaklumkan LIMA ‘25 dijangka mampu menarik lebih banyak penyertaan dari dalam dan luar negara namun berhadapan kekangan daripada segi logistik bagi menyediakan lokasi pameran.

Maka, beliau memohon agar LADA memperluas ruang pameran di MIEC memandangkan banyak syarikat yang menyertai LIMA mempunyai kepakaran dalam kedua-dua segmen maritim dan aeroangkasa.

Sementara itu, Wan Kamarul Faisal berkata, penganjuran LIMA ‘23 hampir seminggu termasuk tempoh persiapan dan latihan pasukan terlibat dilihat memberi impak positif kepada ekonomi tempatan.

“Penganjuran LIMA ‘23 dilihat mewujudkan peluang perniagaan apabila 196 gerai sementara dibuka untuk usahawan kecil menjual produk masing-masing sepanjang tempoh itu.

“Antaranya adalah 84 tapak gerai yang disediakan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) dan 91 tapak gerai lagi disediakan oleh pihak swasta bagi memeriahkan lagi penganjuran LIMA,” ujarnya.

Menurutnya, tapak gerai-gerai berkenaan juga terletak di lokasi strategik seperti di kawasan tumpuan ramai melihat persembahan udara serta tapak lain yang sering menjadi tumpuan pelancong.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya