BACHOK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan jualan Rahmah sempena sembutan hari raya Aidiladha di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 16 hingga 28 Jun ini.
Timbalannya, Fuziah Salleh berkata, program yang diadakan di 640 kawasan DUN itu bertujuan meringankan kos sara hidup dan bebanan perbelanjaan rakyat menerusi penjualan barangan keperluan harian menjelang sambutan Hari Raya Korban.
Menurutnya, ia melibatkan tiga pendekatan iaitu jual beli di pasar raya dan pasar raya besar, di lapangan atau luar premis KPDN bersama rakan strategik menerusi penglibatan kerjasama pemimpin setempat dalam menentukan lokasi sama ada di Parlimen atau DUN.
“Program ini mencerminkan keprihatinan kerajaan yang sudah mengenal pasti masalah dan bebanan yang perlu dibantu dan diringankan. Kita (kerajaan) berusaha mendekati rakyat dengan lebih rapat sehingga akar umbi, selain bantu mereka ringankan kos harian.
“Selain itu, KPDN turut melancarkan Jualan Rahmah Bergerak yang julung kali dilaksanakan ke seluruh negara. Kita guna pakai model Jualan Rahmah yang telah dilaksanakan di Selangor dan akan diadakan secara berperingkat-peringkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan di Jualan Rahmah, Aduan Suri serta Pelancaran Jualan Rahmah Bergerak Malaysia di Pantai Irama, di sini, hari ini.
Fauziah memberitahu, Jualan Rahmah Bergerak itu akan masuk ke kampung-kampung berdasarkan jadual yang telah dirangka dengan menggunakan lori tiga tan.
Katanya, jualan tersebut akan membawa barangan murah dan berkualiti.-UTUSAN