Kosma 'dipulangkan' kepada ahli - Utusan Malaysia

Kosma ‘dipulangkan’ kepada ahli

ZAMRI Mohamed (lima dari kiri) bersama ALK Kosma yang menang pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-38 koperasi itu di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) ‘dipulangkan’ kembali kepada ahlinya selepas lebih dua tahun ditadbir urus pentadbir dilantik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) setelah Ahli Lembaga Koperasi (ALK) itu dibubarkan pada 17 November 2020.

Difahamkan, isu yang menjadi asas pembubaran ALK itu disebabkan kegagalan mematuhi Seksyen 26(c) Akta 502 dan Undang-undang Kecil (UUK) Koperasi, fasal 11(2)(c) yang mana Kosma mengambil 42 pewaris atau penama menjadi ahli.

Pada 24 Jun lalu, Kosma kembali diterajui oleh ahlinya apabila sembilan ALK dipilih pada pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-38 dengan Datuk Zamri Mohamed dilantik sebagai Pengerusi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zamri berkata, keputusan itu ibarat kemenangan cukup berharga yang sekian lama dinantikan-nantikan oleh ahli-ahli koperasi tersebut.

“Kita dapat lihat pada pemilihan 24 Jun lalu, ahli-ahli benar-benar inginkan perubahan dan mereka sudah memilih ALK yang dirasakan cukup layak untuk mentadbir koperasi ini.

“Ramai ahli menangis gembira serta bersyukur ke hadrat Allah SWT setelah keputusan diumumkan dan Kosma kembali kepada ahlinya. Barisan ALK baru ketika ini dibarisi oleh seorang muka lama dan lapan muka baharu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Zamri berkata, Kosma memerlukan perubahan demi membela ahlinya dan berdaya maju mencipta kejayaan dan seterusnya menyumbang secara signifikan dalam pembangunan gerakan koperasi di Malaysia.

“Jadi ALK baharu ini berazam untuk terus memperkasakan Kosma dan akan membawa masuk 239 ahli yang dibuang menerusi operasi pemutihan dibuat pentadbir sementara.

“Kita melihat, kebanyakkan ahli-ahli tersebut dibuang secara melulu dan prosesnya tidak betul. Jadi kita akan bela mereka dan membawa masuk kembali sebagai ahli, itu hak mereka yang dinafikan,” katanya.

Selain itu beliau berkata, misi ALK baharu juga untuk menambah keluasan ladang sawit dimiliki Kosma yang kini seluas 15,378 hektar di Muadzam Shah, Rompin yang mana perladangan merupakan sumber perniagaan utamanya.

Katanya, dengan pertambahan ladang sawit, sudah tentu ahli-ahli akan diberi pertambahan unit ladang.

“Selain perladangan, Kosma juga mempunyai dua hotel di bandar Kuantan dan Ar-Rahnu yang akan terus ditambah baik demi memberikan keuntungan kepada koperasi dan ahli,” katanya.

Jelasnya, Kosma bertekad untuk terus menjaga kepentingan dan kebajikan ahli-ahlinya dengan menjana pulangan kewangan daripada pelaburan perladangan kelapa sawit.

“Kita akan terus membantu meningkatkan ekonomi ahli-ahli daripada pelaburan-pelaburan yang menguntungkan,” katanya.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Zazali Harun pentadbir kedua dilantik SKM yang berjaya menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan yang begitu dinantikan oleh ahlinya koperasi tersebut.

“Penghargaan juga kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan juga kerajaan negeri yang turut membantu Kosma selama ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya