PETALING JAYA: Pendapatan bulanan yang rendah berbanding kos sara hidup tinggi adalah punca utama rakyat tidak menabung sekali gus tiada simpanan kecemasan.
Malah, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pihak bertanggungjawab juga dilihat tidak cuba memahami dan mengatasi masalah yang dialami oleh sesetengah rakyat.
Menurut beliau, masalah sebenar ialah pendapatan yang tidak cukup untuk menyara ke hidupan berbanding simptom banyak pinjaman dan komitmen individu yang tinggi.
“Pada masa sama, agak susah untuk menurunkan kos sara hidup sebab ia bukan saja ditentukan kadar inflasi, tetapi dikaitkan dengan peningkatan taraf hidup.
“Misalnya, zaman dahulu semua naik motosikal di jalan-jalan kecil, tetapi sekarang sudah ada lebuh raya bertol. Dahulu, makan nasi lauk ikan dipancing sendiri dengan sayur dipetik belakang rumah, tetapi hari ini sekurang-kurangnya seminggu sekali makan di luar,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, hanya satu daripada tiga rakyat Malaysia mempunyai tahap celik kewangan, sekali gus menunjukkan kurangnya kesedaran untuk menabung.
Kelemahan itu turut dipengaruhi kecetekan pengetahuan tentang isu kewangan dan sikap berbelanja melebihi kemampuan menggunakan kad kredit serta berhutang dengan ah long.
Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Norma Mansor berkata, paling membimbangkan bilangan muflis dalam kalangan rakyat semakin tinggi disebabkan sikap suka berhutang ini.
Menurut beliau, kajian menunjukkan 52 peratus responden mengakui berdepan kesukaran mengumpul RM1,000 jika berlaku kecemasan manakala 24 peratus yakin dapat memenuhi obligasi kewangan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan.
Justeru, Barjoyai berkata, majikan perlu menghantar semua pekerja mereka menjalani latihan, mendapatkan kemahiran dan kelayakan yang mengiktiraf supaya mereka dapat meningkatkan produktiviti sekali gus meningkatkan pendapatan.
Katanya, ini kerana kebanyakan majikan menyifatkan mereka tidak boleh membayar gaji tinggi kerana produktiviti pekerja adalah rendah.
“Keluarga mengalami masalah kewangan disebabkan disiplin dan gaya hidup serta Malaysia sudah menghadapi keadaan dipanggil jerat kelas menengah sudah hampir 20 tahun.
“Jerat kelas menengah ini wujud kerana pekerja dibawa masuk dengan mempunyai sedikit kemahiran, jadi, mereka mendapat gaji agak rendah.
“Kebetulan pula sistem bank memberi kemudahan banyak kepada golongan ini yang mempunyai bilangan ramai dan sangat memerlukan pinjaman, jadi mereka mendapat pinjaman atau kredit kad, yang menyebabkan akhirnya kebanyakan mereka terjerat dalam hutang.
“Apabila terjerat dalam hutan, setiap bulan kena bayar ansuran, jadi ia memberi tekanan kerana mengurangkan lagi pendapatan boleh guna,” katanya.-UTUSAN