ISKANDAR PUTERI: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Johor merekodkan aset terkumpul sebanyak RM1.35 bilion menerusi 1,462 koperasi, tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan sejak 2020.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, koperasi di Johor berjaya mencatatkan perolehan sebanyak RM715 juta.
“Menerusi penghasilan pendapatan ini, banyak keuntungan telah diagihkan semula untuk manfaat rakyat Johor. Sebanyak RM11.33 juta dividen telah diisytihar kepada seramai 463,000 anggota koperasi di Johor.
“Selain itu, koperasi di negeri ini juga telah menyumbang dalam pelbagai tabung khas seperti Tabung Kebajikan, Tabung Khairat Kematian, Tabung Pendidikan dan Tabung Kesihatan di negeri ini melibatkan jumlah RM9.74 juta,” katanya pada Majlis Pelancaran Geran Pembangunan Koperasi Johor di Hotel Amansari, di sini yang turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Johor, Fadilah Salim.
Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, kerajaan negeri komited untuk terus menyokong pembangunan dan perkembangan gerakan koperasi di negeri ini.
“Bagi tahun 2023, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.7 juta, peningkatan berbanding RM1.5 juta tahun lalu untuk terus menggalakkan pertumbuhan koperasi-koperasi di negeri ini.
“Daripada jumlah tersebut, RM1.5 juta adalah untuk pelaksanaan Geran Coop Maju Johor 2023 yang menawarkan peruntukan sehingga RM50,000 kepada mana-mana koperasi yang layak.
“Sementara itu, baki RM200,000 bagi menjalankan program ‘Groombig Produk Koperasi’ yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehan pasaran produk bagi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Mohd. Hairi berkata, program itu bagi membolehkan produk yang dihasilkan oleh koperasi-koperasi negeri ini dapat menembus pasaran antarabangsa dan bukan sekadar dalam pasaran tempatan.
Sementara itu, Fadilah memaklumkan, daripada 1,462 koperasi berdaftar di negeri ini, kira-kira 70 peratus bergiat secara aktif, manakala bakinya diletakkan dalam kategori tidak aktif. – UTUSAN