KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengesahkan kerja-kerja pembersihan tapak pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau, Selising, Pasir Puteh dekat ini sudah berjalan sekali gus menyaksikan projek tersebut bergerak mengikut jadual ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerja-kerja pembersihan tapak dijangka selesai pada bulan ini atau Julai dan kemudian LST akan dikeluarkan kepada pihak pemaju.
Menurutnya, pihak pemaju kemudiannya akan membentangkan beberapa reka bentuk stadium untuk dipilih oleh kerajaan negeri dan dijangka pada tahun 2025 nanti stadium yang boleh memuatkan 20,000 penonton akan dapat disiapkan.
“Pembinaan stadium ini dilaksanakan mengikut peruntukan yang telah ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), iaitu RM180 juta. Setakat ini ia berjalan mengikut jadual ditetapkan dan tiada sebarang sekatan peruntukan oleh pihak kementerian.
“Saya baru melakukan lawatan ke tapak kompleks akuatik di Madinah As-Salam yang telah memulakan kerja pembinaannya di atas tanah berkeluasan lebih 2.02 hektar dan dimaklumkan kerja-kerja tapak telah mencapai lapan peratus,” katanya pada sidang akhbar Cabaran Mr. Awang Selamat di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Pertandingan bina badan patuh syariah bersempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan yang akan berlangsung bermula 16 hingga 18 Jun ini.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai masalah ‘scoreboard’ di Stadium Sultan Muhammad IV yang didakwa sering mengalami kerosakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubur itu memberitahu kerajaan negeri akan menjalankan usaha baik pulih.
Katanya, bukan hanya masalah ‘scoreboard’ tetapi beberapa perkara lain akan turut diberikan perhatian dan perlu dilengkapkan menjelang tahun 2024 bagi memenuhi syarat ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Kita telah berbincang dengan Perbadanan Stadium Negeri (PSN) dan kesemua perkara berkaitan akan dipenuhi termasuk ikhtiar baik pulih ‘scoreboard’. Ia pasti menelan belanja agak besar tetapi kita akan ikhtiarkan,” ujarnya.-UTUSAN