KOTA BHARU: Kerajaan tegas dalam menangani penyebaran kandungan palsu serta tomahan yang menyentuh isu membabitkan 3R (kaum, agama dan raja) di negara ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah menjalinkan kerjasama dengan polis serta penyedia platform media amat sosial dalam memantau penyebaran kandungan palsu dan 3R.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan platform media sosial ini tidak disalahgunakan oleh penjenayah sehingga boleh menggugat ketenteraman awam.
“Setakat ini kita telah mengadakan pertemuan bersama beberapa pihak penyedia platform seperti Facebook, dan Telegram. Bersama dengan Meta (Instagram) kita akan adakan dalam masa terdekat.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang enggan memberikan kerjasama, tindakan undang-undang boleh diambil,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Komuniti Madani Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Wawa, Jalan Kelochor di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi memberitahu, KKD melihat ada keperluan untuk meneliti pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dalam usaha mengekang masalah jenayah siber daripada terus berleluasa pada masa hadapan.
Katanya, pindaan itu perlu dilakukan bagi memenuhi keperluan perkembangan digital semasa.
“Dengan pindaan serta memperkukuhkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ini, ia akan memastikan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (KMM) mempunyai kuasa yang lebih besar untuk menangani isu berkenaan.
“Kita harap pindaan akta ini dapat di bawa ke Parlimen hujung tahun ini,” ujarnya.-UTUSAN