Kerajaan Negeri Sembilan mahu tambah kawasan hutan simpanan kekal - Utusan Malaysia

Kerajaan Negeri Sembilan mahu tambah kawasan hutan simpanan kekal

AMINUDDIN Harun (lima dari kanan) menanam pokok Medang Sarsi sempena Program Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2023 Peringkat Negeri Sembilan di PD Forest @ Sungai Menyala di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan kini dalam proses untuk menambah lagi keluasan kawasan hutan simpanan kekal di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penambahan kawasan hutan simpanan kekal itu membabitkan beberapa kawasan hutan simpan bakau seluas 330 hektar di daerah ini.

Jelas beliau, hutan-hutan berkenaan akan diwartakan sebagai hutan simpanan kekal yang turut diharap akan menjadi pusat kajian bagi generasi muda mengenai hutan bakau.

Menurutnya lagi, beberapa kawasan bersesuaian kini sedang dikenal pasti untuk tujuan itu antaranya kawasan hutan bakau di Sungai Nipah, Chuah, Lukut dan Sungai Linggi di sini.

“Sekarang anak muda tidak tahu hutan bakau itu apa, apa ada alam hutan bakau. Mereka tidak kenal lokan, kupang, siput, banyak yang ada di dalam hutan bakau yang merupakan sumber alam yang menjadi tempat makanan-makanan ikan. 

“Ini (hutan bakau) antara yang harus kita jaga bagi memastikan sumber ikan kita walaupun tidak banyak tetapi dijaga dan dihargai, itu tengah kita kenal pasti kawasan tersebut, apabila sudah di wartakan, itu kekal menjadi khazanah kita” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa, Peringkat Negeri Sembilan 2023 di PD Forest @ Sungai Menyala, di sini, hari ini.

Sempena program berkenaan, turut diadakan penyampaian pengiktirafan dari Malaysia Book of Records (MBOR) kepada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan bagi rekod Jam Matahari Terbesar Dalam Hutan Simpan dan juga Dataran Astronomi Terbesar Dalam Hutan Simpan. 

AMINUDDIN Harun melakukan pelepasan peserta basikal lasak sempena Program Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2023 Peringkat Negeri Sembilan di PD Forest @ Sungai Menyala di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Terdahulu dalam ucapannya, Aminuddin berkata, kerajaan negeri komited mengekalkan keluasan litupan kawasan berhutan negeri dengan mengekalkan keluasan hutan simpanan kekal seluas 155,086 hektar.

Jelasnya, keluasan itu mewakili 23 peratus daripada keluasan tanah negeri sekali gus selaras dengan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia. 

Sambil itu menurut beliau, aktiviti ekopelancongan hutan telah diberi perhatian oleh kerajaan negeri untuk dimajukan secara tersusun sejajar dengan hasrat untuk meningkatkan sumber pendapatan sebanyak 30 peratus daripada ekopelancongan. 

“Sehingga kini terdapat 13 kawasan Taman Eko Rimba di negeri ini termasuk Taman Negeri Kenaboi dan PD Forest dengan kedatangan pengunjung seramai 326,771 orang pada tahun 2022. 

“Taman Eko Rimba Batu Maloi yang terkenal dengan penjelajahan gua dalam air telah dapat menarik kedatangan secara mendadak iaitu 208 orang pelancong luar negara pada bulan Mei 2023 sahaja, menghampiri bilangan 227 orang tempatan,” katanya.

“Terdapat sembilan kawasan pendakian gunung telah dikunjungi seramai 77,900 orang iaitu melibat kawasan terkenal seperti Gunung Datuk, Gunung Angsi, Bukit Batu Sawa dan Trans Naning. 

“Peningkatan pengunjung ini telah meningkatkan hasil kerajaan negeri melalui kutipan permit memasuki hutan, sewaan tapak perkhemahan dan chalet iaitu menghampiri RM500,000 walaupun dalam keadaan kesan terhadap berlaku pandemik masih terasa,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya