KUANTAN: Kerajaan negeri memberi jaminan untuk menanggung baki kos perubatan Muhammad Athif Fahri Mohd. Farhan atau adik Athif berjumlah RM300,000 sekiranya masih belum mencukupi mengikut had masa ditetapkan, esok.
Ia dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang hadir menziarahi adik Athif yang menderita penyakit Spinal Muscular Atrophy Type 1 (SMA1) di kediamannya di Permatang Badak Maju di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, adik Athif perlu mendapat rawatan segera bagi pembelian ubat Genetik Zolgensma dalam usaha menghentikan proses kemerosotan fungsi otot dialaminya.
Menurutnya, sebanyak RM9.49 juta sudah pun berjaya dikumpulkan setakat ini dan baki diperlukan kira-kira RM300,000 lagi.
“Saya ada berbincang dengan bapa adik Athif, Mohd. Farhan Mohd. Sait, 35 dan isterinya, Nur Azizah Zamri, 33, agar adik Athif mendapat rawatan segera kerana keadaannya semakin lemah.
“Langkah segera diperlukan memandangkan pernafasan kanak-kanak itu semakin kritikal walaupun dana masih belum mencukupi kira-kira RM300,000. Jadi saya harap pihak PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya)
mengambil tindakan segera.
“Jangan tunggu dana cukup baharu nak berubat… katalah masih tidak dapat RM300,000 lagi, kerajaan negeri akan jadi “collateral’, ini jaminan saya… komitmen kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada adik Athif di Permatang Badak di sini.
Terdahulu, kutipan dana dilancarkan oleh Yayasan Misi Rakyat dan berjaya mengumpul sebanyak RM9.4 juta dalam tempoh sebulan.
Dana itu bagi membeli ubat Genetik Zolgensma yang berharga AS$2.1 juta (RM9.42 juta) dipercayai mampu menyembuhkan penyakit yang dikategorikan sebagai jarang jumpa.
Sebaik sahaja dana kutipan mencukupi, adik Athif akan menjalani rawatan di PPUM dan perlu menerima suntikan ubat Genetik Zolgensma sebelum usianya mencapai dua tahun. – UTUSAN