Kelantan sasar lebih 50,000 kanak-kanak suntik vaksin pneumokokal

Kelantan sasar lebih 50,000 kanak-kanak suntik vaksin pneumokokal

DR. ZAINI Hussin (dua dari kanan) sedang mendengar penerangan mengenai kesan peranti rokok elektronik kepada kesihatan pada Program Kelantan Sihat 2023 di sebuah hotel di Kota Bharu,Kelantan hari ini.UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menyasarkan lebih 50,000 kanak-kanak di negeri ini akan menerima vaksin pneumokokal menerusi inisiatif imunisasi catch-up pneumokokal (CHUP)

Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, pemberian vaksin satu dos itu membabitkan kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019.

Menurutnya, JKNK ketika ini masih dalam proses pengumpulan data dan maklumat  kanak-kanak yang layak untuk penetapan tarikh janji temu.

“Setakat ini, seramai 28 kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 19 kanak-kanak yang lahir pada 2019 di daerah Pasir Mas sudah menerima vaksin pneumokokal. 

“Suntikan itu diberikan kepada kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah memandangkan mereka juga berisiko mendapat penyakit pneumokokal invasif,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Kelantan Sihat 2023 di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Izani Husin yang menyempurnakan perasmian program tersebut.

Dr. Zaini memberitahu, pemberian vaksin pneumokokal dilakukan di semua fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) secara percuma.

Katanya, beliau berharap agar ibu bapa yang mempunyai anak yang berusia empat dan lima tahun untuk segera mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin berkenaan.

“Ibu bapa juga boleh mendapatkan slot janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan syarat nama anak didaftarkan sebagai ‘dependent’ dan ibu bapa tahu mengenai lokasi klinik kesihatan yang akan dipilih,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, KKM akan memperluaskan pemberian vaksin pneumokokal secara percuma bermula esok kepada kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019 di semua fasiliti primer kerajaan seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pemberian vaksin itu yang dilaksanakan bermula 1 Jun hingga 31 Mei 2024 dibuat menerusi inisiatif imunisasi CHUP bagi memastikan golongan terlibat menerima imunisasi lengkap.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN