Kejatuhan nilai RM dipengaruhi kadar faedah rendah - Utusan Malaysia

Kejatuhan nilai RM dipengaruhi kadar faedah rendah

ANWAR Ibrahim sewaktu berucap pada program Temu Anwar Negeri Sembilan di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai di Seremban, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) adalah dipengaruhi oleh kadar faedah negara yang rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, atas dasar itu kerajaan akan berunding untuk mencapai keseimbangan supaya kadar faedah negara yang rendah tidak menyebabkan pelabur asing membawa wang keluar dari negara ini.

Bagaimanapun menurut beliau, sekiranya kerajaan menaikkan kadar faedah terlalu tinggi, ia akan membebankan syarikat-syarikat kecil dan sederhana.

“Kalau saya ada RM1 juta, saya hendak masuk ke bank, saya ada pilihan antara Malaysia, Singapura dan Indonesia. Singapura dan Indonesia ada kadar faedah tinggi, jadi saya pilih simpan untuk di luar, itu masalah kita sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar sempena Program Temu Anwar Negeri Sembilan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan situasi negara dalam isu kejatuhan nilai RM adalah berbeza memandangkan pertumbuhan ekonomi negara meningkat.

“Jika ekonomi menjunam, nilai mata wang jatuh, pelaburan berkurangan dan pertumbuhan jatuh namun situasi berbeza di negara ini apabila pertumbuhan ekonomi terus meningkat serta tinggi berbanding Indonesia, China dan Singapura pada suku pertama tahun ini.

“Pelaburan kita, RM71 billion untuk empat bulan pertama cuma kita kena cari jalan untuk bawa balik pelaburan dengan beberapa insentif. Saya kata buat hab kewangan di Johor salah satunya, kemudian MM2H (Malaysia Rumah Kedua Ku) untuk bawa orang masuk wang dan beberapa lagi saya umum minggu lalu dan beberapa langkah yang sedang kita fikirkan” katanya.

Anwar turut berkongsikan pelabur asing masih mempunyai keraguan terhadap negara apabila mempunyai desas-desus yang mengatakan akan berlakunya peralihan kerajaan pada bulan Ogos seperti yang digemburkan pihak pembangkang.

 “Ada baiknya sebab orang (pelabur) lebih yakin pada saya daripada mereka. Dia kata kalau Anwar masih memimpin, kerajaan stabil, mereka lebih yakin. Kalau ganti orang lain, mereka tarik balik. 

“Bukan saya mahu kempen untuk Kerajaan Perpaduan tetapi ini kenyataan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya