Kegigihan berulang alik 60km setiap hari ke sekolah terbalas - Utusan Malaysia

Kegigihan berulang alik 60km setiap hari ke sekolah terbalas

KARIM Wael Marzouk Abou El Soud Hashem memeluk ibunya, Lamia Elsayed Azab, selepas dia diumumkan sebagai pelajar cemerlang 11A+ pada sidang akhbar keputusan SPM 2022 Peringkat Negeri Sembilan di Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kegigihannya berulang alik setiap hari sejauh 60 kilometer (km) dari rumahnya di Nilai ke sekolahnya yang terletak di bandar Seremban memberi pulangan kepada calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2022, Karim Wael Marzouk Abou El Soud Hashem, 18.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Seremban itu memperoleh keputusan cemerlang 11A+ dalam peperiksaan itu yang diumum hari ini.

“Saya bangun seawal pukul 5.30 pagi dan menaiki komuter pada pukul 6.20 pagi. Selepas itu, saya akan berjalan kaki dari Stesen Keretapi Seremban dan tiba di sekolah pada pukul 7.30 pagi. 

“Saya sanggup berulang alik sejauh 60 kilometer ini setiap hari kerana sangat terhutang budi dengan guru-guru di sekolah tersebut yang sentiasa memberikan sokongan dan tunjuk ajar.

“Pada hujung minggu juga ada kelas tambahan secara dalam talian yang disediakan oleh guru-guru. Saya juga akan sentiasa belajar membuat karangan dengan baik pada hujung minggu, Alhamdulillah saya mendapat keputusan cemerlang pada hari ini,” katanya.

Dia ditemui pemberita selepas sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2022 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Muhammad, di sini hari ini. 

Anak kedua daripada tiga orang beradik itu menambah, dia berhasrat untuk mengikut jejak kakaknya yang menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Bagi saya, selain perlu berusaha belajar bersungguh-sungguh, kita juga mesti menghormati guru agar mendapat ilmu yang berkat,” katanya yang memberitahu bapanya seorang doktor manakala ibunya suri rumah dan kedua-duanya berasal dari Mesir.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya