KOTA BHARU: Sebuah kedai emas, Lin Amanda Gold & Jewelleries, Lembah Sireh di sini mendakwa kerugian kira-kira RM10 juta apabila seramai 1,800 ejen jualan dan ahlinya meninggalkan perniagaan itu selepas tular berita di media sosial berhubung jual beli emas yang dijalankan tidak patuh syariah
Pemiliknya, Wan Azman Fikri Wan Hussin, 49, berkata, susulan berita itu, pembekal barangan kemas turut hilang kepercayaan terhadap kedai emas miliknya selepas perkara tersebut tular.
“Saya menafikan segala dakwaan itu kerana semua urusan jual beli melibatkan emas mempunyai hitam putih. Tiada isu yang boleh dikaitkan dengan perniagaan kami tidak patuh syariah.
“Perkara itu sengaja dibuat-buat oleh individu yang dipercayai tidak berpuas hati selepas berlaku kes pecah amanah dan kecurian di ibu pejabat syarikat itu baru-baru ini,” katanya sidang akhbar di pejabat Lin Amanda Gold & Jewelleries di sini hari ini.
Wan Azman memberitahu, ekoran daripada dakwaan itu, ejen jualan emas di bawah syarikat mengambil keputusan untuk berhenti daripada bekerjasama dengan pihaknya.
Katanya, selain itu dia dan isteri, Roslinda Mohamad, 43, yang menjalankan perniagaan turut tertekan sehingga terpaksa menangguhkan banyak urusan sejak beberapa bulan lalu.
“Kedai emas ini beroperasi sejak empat tahun lalu dan kami melantik ejen untuk jualan emas. Segala urusan jual beli dengan ejen dilakukan secara patuh syariah dan kami tidak pernah menganiaya mereka.
“Kesemua ejen kami dibayar bonus dan upah mengikut emas yang dijual. Kami tidak melakukan seberang penipuan dalam urusan jual beli mengambil untung lebih,” ujarnya.
Wan Azman berkata, buat masa ini, operasi syarikat dihentikan seketika untuk memperbaiki struktur dan mengukuhkan semula akaun syarikat.
Katanya, Lin Amanda Gold & Jewelleries ditubuhkan untuk membantu usahawan membeli emas mengikut harga semasa di bawah pakej yang ditawarkan sekali gus melatih peminat barangan kemas menjadi usahawan barangan kemas.
“Saya sudah membuat laporan polis pada Mac lalu bagi mendapatkan pembelaan di samping membersihkan nama syarikat daripada dakwaan tersebut,” katanya.
Isu terbabit timbul selepas tular satu hantaran di facebook yang dibuat oleh seorang individu berhubung perniagaan yang dijalankan syarikat itu tidak patuh syariah dan tidak betul.
Situasi itu menyebabkan syarikat mengalami kerugian dan gagal membuat bayaran keuntungan berupa wang tunai serta emas kepada ahli serta ejen. – UTUSAN