Kedah terima RM36.34 juta naik taraf infrastruktur awam 

Kedah terima RM36.34 juta naik taraf infrastruktur awam 

NGA Kor Ming (tiga dari kiri) beramah mesra dengan peniaga ketika mengadakan lawatan ke Pasar Teluk Wanjah di Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan peruntukan RM36.34 juta untuk 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bagi menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur awam di kawasan masing-masing. 

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut yang melibatkan 95 projek adalah antara usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti fasiliti awam di Kedah. 

“Kesemua projek ini wajib bermula dengan kadar segera, jika boleh siap tahun ini. Ia adalah projek infrastruktur di mana kita berikan keutamaan kepada projek berimpak tinggi yang dekat di hati rakyat.  

IMPAK

“Projek itu seperti menaik taraf pasar awam, baik pulih tandas, baiki jalan rosak dan pemasangan lampu solar. Kesemua ini kita lihat bagi impak kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan ke Pasar Teluk Wanjah, di sini hari ini.

Tambah beliau, 95 projek berkenaan antaranya melibatkan kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam di pasar berkenaan dengan peruntukan RM450,000.

“Pasar Teluk Wanjah dibina pada 2012. Bagi saya, pasar adalah nadi ekonomi masyarakat, justeru KPKT membawa Sentuhan Kasih untuk warga Alor Setar dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk kerja-kerja seperti mengecat semula bangunan, merombak longkang serta baik pulih loji kumbahan dan longkang,” katanya.

Tambah beliau, selain itu KPKT turut meluluskan peruntukan menaik taraf Dewan Datuk Syed Omar, di sini dengan peruntukan RM350,466.

“Kita akan turun melawat tapak ini dan memastikan setiap projek bermula dengan kadar segera. Ini adalah satu peruntukan yang besar sekiranya dimanfaatkan tanpa ketirisan dan pembaziran,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek tersebut bukan gula-gula kerajaan untuk rakyat Kedah terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Saya tegaskan sebenarnya KPKT, kerajaan Malaysia Madani sentiasa komited untuk menjaga kesejahteraan rakyat, kebajikan dan kesejahteraan rakyat adalah keutamaan kerajaan Malaysia.

“Tanpa mengira agama ataupun fahaman politik. Kita turun untuk pastikan agenda membela nasib rakyat sebab itu saya sudah menjelajah ke negeri Kelantan, kemudian ke Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor dan Johor. 

“Kerajaan ini bersikap adil, arif dan saksama. Tidak ada pilih bulu kerana kita anggap semua anak Kedah, anak kita. Anak Pulau Pinang, anak kita. Anak Perak pun anak kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya