BAGAN DATUK: Kawasan istiadat pertabalan Sultan Perak, Beting Beras Basah di sini termasuk galeri yang mempamerkan maklumat mengenai kawasan itu yang dikaitkan dengan sejarah Kesultanan Perak didapati terbiar.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan persekitarannya dinaiki semak manakala bahagian dalam galeri yang mempunyai monumen atau sedikit catatan untuk menerangkan latar belakang tempat itu termasuk permulaan sejarah Kesultanan Perak banyak yang sudah rosak.
Malah, cermin pada papan maklumat yang mempamerkan sejarah Kesultanan Perak didapati sudah pecah.
Pelancong yang melawat kawasan tersebut kesal dengan keadaan itu yang tidak dijaga dengan baik sedangkan ia merupakan produk tarikan pelancong dan kawasan warisan sejarah yang penting mengenai Kesultanan Perak.
Pengunjung dari Kuala Kangsar, Mohasmad Rosli Mohd Hussin, 64, berkata, dia melawat kawasan tersebut sebagai mengisi kunjungannya ke Bagan Datuk melalui Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop yang baru siap.
Katanya, dia terkejut dan kecewa apabila mendapati kawasan itu termasuk galeri penerangan mengenai sejarah Beting Beras Basah yang terbiar sehingga banyak kawasan yang sudah dinaiki semak.
Menurutnya, ini dapat dilihat sebaik sahaja melalui jeti atau jalan masuk ke kawasan itu melalui sebuah jambatan yang semak sehingga dahan-dahan pokok sudah naik sehingga ke jambatan.
“Keadaan ini boleh mengundang bahaya jika ada reptilia berbahaya seperti ular selain terdapat juga kera dan biawak.
“Saya sedih melihat keadaan galeri ini yang tidak dijaga terutama dari segi kebersihannya dan saya tak nampak ada orang yang menjaga tempat ini.
“Perasaan bertambah sedih apabila melihat gambar dalam galeri termasuk gambar kesultanan Perak sudah koyak dan cermin kacanya sudah pecah,” katanya.
Menurutnya, tempat itu perlu sentiasa diselenggara dengan baik dan tidak hanya semasa istiadat pertabalan sahaja.
“Rugi rasanya apabila kawasan yang cantik dan penuh sejarah ini tidak dijangka sedangkan kos untuk membina kawasan ini sudah tentu besar namun akhirnya terbiar.
“Sedangkan di tempat lain, warisan sejarah dijaga dengan baik bukan sahaja untuk pelancong tetapi juga untuk menjaga sejarah bangsa,” katanya.
Terletak tidak jauh dari pekan Bagan Datuk, Beting Beras Basah merupakan lokasi yang sangat penting bagi istiadat diraja Perak yang juga susur galur daripada kesultanan Melayu Melaka.
Umumnya, beting pasir selalunya merujuk kepada fenomena semula jadi kejadian pasang surut air, namun keistimewaan lokasi terbabit ialah kesempatan pengunjung menyaksikan sendiri tempat istiadat pertabalan Sultan Perak.
Setiap kali pertabalan, Sultan Perak akan mula menghilir Sungai Perak dari Kuala Kangsar hingga ke Beting Beras Basah sebagai simbolik adat tempat pertama Sultan Muzaffar Shah I, yang juga Sultan Perak pertama menjejakkan kaki ketika mula sampai di bumi Perak.-UTUSAN