PASIR PUTEH: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengelaskan kawasan tanaman padi dibawah selian agensi itu kepada tiga bahagian dalam usaha meningkatkan lagi pengeluaran hasil di masa hadapan.
Pengerusinya, Muhamad Husain berkata, ia melibatkan kawasan pengeluaran hasil tinggi, sederhana dan rendah.
Menurutnya, melalui kaedah itu KADA dapat memberikan tumpuan yang lebih kepada kawasan rendah bagi memastikan pengeluaran hasil dapat ditingkatkan sekali gus menyahut seruan kerajaan.
“Berpandukan kepada maklumat yang diperoleh, kebanyakan kawasan rendah itu mengeluarkan hasil bawah empat tan metrik untuk satu hektar.
“Sungguhpun begitu, KADA boleh berbangga apabila Ladang Merdeka yang kita usahakan sudah mencapai pengeluaran hasil melebihi lima tan metrik dan ke atas untuk satu hektar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Agro Industri selain padi (ternakan unggas) Tahun 2023 di Selising, hari ini.
Muhamad memberitahu, KADA sedia tampil lebih agresif bagi memastikan pengeluaran hasil pada masa hadapan mampu ditingkatkan dengan lebih banyak.
Katanya, masalah air merupakan antara salah satu faktor yang mempengaruhi jumlah pengeluaran hasil di kawasan KADA.
“Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat antara lokasi yang sering menghadapi masalah air. Insya-Allah bila Rumah Pam Kemubu 3 siap nanti, masalah di ketiga-tiga lokasi itu dapat diselesaikan nanti,” ujarnya.-UTUSAN