KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bercadang membina rumah pam di Bachok dan Pasir Puteh dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air yang sering menghantui petani di kawasan tersebut.
Pengerusinya Muhamad Husain berkata, pembinaan yang menelan belanja sekitar RM40 juta mampu memberikan kelegaan kepada lebih 3,000 petani yang mengusahakan 9,750 hektar padi di kedua-dua kawasan tersebut.
“Buat masa ini KADA sedang melakukan kajian dan mencari lokasi terbaik untuk membina rumah pam tersebut.
“Pembinaan itu merupakan salah satu usaha terbaharu yang diambil KADA dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para petani,” katanya kepada pemberita selepas melaporkan diri pada hari pertama sebagai Pengerusi KADA di sini hari ini.
Muhamad memberitahu, usaha tersebut selari dengan ketetapan yang buat oleh kerajaan serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam usaha meningkatkan lagi sistem pengairan kawasan padi bawah seliaan KADA.
Katanya, usaha berterusan tersebut bertujuan memastikan bekalan makanan negara terutama beras mencukupi untuk keperluan rakyat.
Dalam perkembangan lain, Muhamad berkata, projek pembinaan pam Kemubu 3 yang bernilai RM27 juta sudah bermula pada 1 Jun lalu.
Katanya, projek yang dijangka siap pada Jun 2025 itu mampu menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan KADA apabila ia boleh menyedup air sungai di paras yang lebih rendah iaitu 2.0 berbanding 3.4 meter ketika ini.-UTUSAN