BENTONG: Jurukamera Channel News Asia (CNA Malaysia) maut setelah motosikal ditunggangi hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan dalam kemalangan jalan raya di kilometer 43, Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengahari itu, mangsa Khairul Azman Zainuddin, 45, yang tercampak ke seberang jalan dilanggar motosikal lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.
“Mangsa tercampak ke seberang jalan lalu dilanggar oleh sebuah motosikal lain dari arah Kuala Lumpur ditunggangi seorang lelaki berusia 46 tahun yang tidak sempat mengelak apabila tiba di tempat kejadian.
“Mangsa disahkan oleh petugas perubatan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang sebuah motosikal lagi hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Bentong,” katanya di sini hari ini.
Zaiham berkata, saksi yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerusi talian 092222222 untuk membantu siasatan selanjutnya.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN