JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mahu membudayakan amalan membaca al-Quran dengan menyasarkan seramai 8,000 umat Islam di negeri ini khatam al-Quran dalam tempoh setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, perkara itu mampu dicapai dengan bantuan kira-kira seramai 2,600 guru al-Quran menerusi kelas mengaji yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di seluruh negeri ini.
Beliau berkata jumlah sasaran itu tidak membabitkan pelajar sekolah agama atau kakitangan jabatan agama sebaliknya orang awam termasuk orang kampung, penduduk bandar dan sebagainya.
“Biasanya yang khatam al-Quran ini budak sekolah tetapi kita nak ubah budaya itu, guru al-Quran ini perlu membantu kerajaan Negeri untuk melahirkan lebih ramai orang muda, orang kampung dan orang bandar untuk khatam al-Quran.
“Kita mahu membudayakan amalan membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam di Johor dan selalu berdamping dengan kitab suci, bukan hanya terbiar di almari semata-mata.
“Masyarakat boleh hubungi pihak masjid dan pejabat kadi daerah untuk mengenal pasti guru untuk mereka belajar al-Quran dan khatam secara berperingkat. Memandangkan rakyat Johor ada tiga juta, saya berpandangan tidak berat jumlah 8,000 sasaran untuk dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Multaqa Guru-Guru al-Quran Bersama Johan Qari dan Qariah Antarabangsa Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Mohd. Fared berkata, budaya melagukan Al-Quran atau bertarannum masih lagi bersifat minoriti dalam kalangan pembaca di negeri ini.
Sehubungan itu, katanya, kelas pembelajaran Tarannum secara tidak formal banyak digerakkan oleh guru yang terdiri daripada qari dan qariah bagi menjaga serta memelihara ilmu Tarannum dari terus hilang di telan zaman.
“Majlis seperti ini dapat menyemarakkan lagi penghayatan bacaan al-Quran melalui pendekatan secara bertarannum.
“Semoga program ini dapat menambahkan lagi menarik minat guru-guru al-Quran di negeri Johor untuk lebih mendalami seni ilmu tarannum dan menguasainya,” katanya.-UTUSAN