SEREMBAN: Jenazah Laskar Udara I, Mohd. Iqmal Masdi, 22, yang maut dalam insiden bom lempar meletup ketika latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di Tampin, tengah hari semalam, selamat dikebumikan kira-kira pukul 6.30 petang tadi.
Terdahulu, jenazah penuntut dari Institut Pentadbiran Dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan (Instar) itu tiba di kediaman keluarganya di Kampung Rawa Hulu, Lenggeng, di sini, kira-kira pukul 5 petang dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini.
Jenazah kemudiannya disolatkan sebelum di bawa ke Tanah Perkuburan Kampung Rawa kira-kira pukul 5.30 petang dan dikebumikan dengan istiadat ketenteraan.
Kira-kira 500 anggota dan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari kem berdekatan termasuk dari Kementerian Pertahanan di ibu negara berada di tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan terakhir.
Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan timbalannya Adly Zahari yang turut menziarahi ahli keluarga anggota TUDM berkenaan.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, polis akan merakam keterangan semua individu yang berada di lokasi kejadian yang turut mengorbankan seorang jurulatih itu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, soal siasat itu bagi melengkapkan siasatan polis dan setakat ini kes masih diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
TUDM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan akan menubuhkan satu lembaga penyiasatan berhubung kejadian bom lempar itu serta menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Dalam insiden itu, dua maut membabitkan anggota TUDM yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas, Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin semalam
Turut terkorban susulan kejadian itu, jurulatih dari Instar, Koperal Udara Mohd Syuib Bidin, 33, yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat, Johor, semalam.-UTUSAN.