KUALA LUMPUR: ‘Jangan diusik hati dan perasaan orang Melayu.’
Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap seruan bagi memadamkan kecurigaan sesama parti-parti dalam kerajaan Perpaduan.
Beliau juga memberi peringatan sama kepada ahli-ahli UMNO agar mengelakkan tutur dan tindakan yang boleh mengundang resah sahabat dan rakan parti-parti lain.
“Jangan lagi ada kenyataan-kenyataan yang boleh menguris hati antara kita. Kepada sahabat-sahabat kita, jangan diusik hati dan perasaan orang Melayu. Begitu juga dengan kita, elakkan tutur dan tindakan yang boleh mengundang resah sahabat dan rakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan perkara pokok yang melibatkan soal Islam, Melayu dan bumiputera tidak pernah dicabar atau cuba dirobek oleh mana-mana rakan kongsi politik kita.
Oleh demikian, beliau berharap kesalingan yang terbentuk ini akan memadamkan kecurigaan sesama kita.
“Andai ada yang cuba memainkan sentimen, kononnya kerjasama politik yang dilakukan oleh UMNO, akan menghakis kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, suka saya tegaskan, UMNO bukan political chameleons atau mengkarung politik. Kita tetap mempertahankan empat perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. -UTUSAN