Jangan bersikap 'kebudak-budakan' masa berkempen di PRN-Mufti Kelantan

Jangan bersikap ‘kebudak-budakan’ masa berkempen di PRN-Mufti Kelantan

MOHAMAD Shukri Mohamad (tengah) menghayati bacaan al-Quran yang diperdengarkan oleh qari pada Program Arafah #QuranHour di Masjid Sultan Muhammad II, Telipot, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli politik dan rakyat khususnya yang beragama Islam diseru menunjukkan sifat kedewasaan serta matang semasa berkempen atau melaksanakan apa-apa perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ahli politik dan rakyat sepatutnya sudah menjadi dewasa apabila sudah banyak kali pilihan raya berlangsung di negara ini.

“Jadi dalam berkempen atau apa sekalipun biarlah ia menunjukkan kita sudah berada pada peringkat dewasa. Jangan keanakan-anakan dan jangan kebudak-budakan.

“Kalau timbul perbalahan atau perpecahan saya ingat itu masih lagi di peringkat keanak-anakan atau kebudak-budakan. Kerana itu kita jagalah di semua peringkat. Ahli-ahli politik yang berkempen dan sebagainya, tunjukkanlah kedewasaan ketika berkempen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Arafah #QuranHour 1444 Hijrah: Syukur Membina Takwa di Masjid Sultan Muhammad II, Telipot, di sini hari ini.

Ditanya berkenaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan mengundi pada PRN nanti sebagai fardu ain, beliau enggan mengulas lanjut, namun menjelaskan perkara tersebut bergantung kepada pendapat-pendapat tertentu.

Bagaimanapun beliau berpesan agar masyarakat di semua peringkat terutamanya umat Islam mengelak daripada melakukan perkara yang memudaratkan dalam usaha membawa kebaikan.

“Perkara itu (mengundi fardu ain) lebih kepada isu politik kepartian, jadi saya tidak mahu ulas tetapi ia ada pandangan-pandangannya. Peringkat mana ia dianggap fardu ain dan peringkat mana ia menjadi fardu kifayah. Jadi saya tidak mahu mengulas lanjut.

“Kita hendak memilih pemimpin ertinya mahu memperkenalkan perkara kebaikan untuk negara dan masyarakat. Jangan pula di dalam menempa kebaikan dan kemajuan tiba-tiba kita melakukan perkara yang bercanggah dengan keperluan kebaikan itu,” ujanya.

Mohamad Shukri menyarankan supaya rakyat mengenali calon-calon yang bakal bertanding pada PRN nanti dengan sebaiknya agar dapat membuat pilihan tepat siapa bakal mewakili mereka nanti.

“Negara telah memperkenalkan satu sistem pemilihan iaitu pengundian yang mana di dalam Islam ia bermaksud mewakili. Jadi rakyat yang membuang undi seumpama menyerahkan wakalah atau mandat kepada wakil rakyat untuk mewakili mereka dalam menggubal undang-undang, melaksanakan pembangunan dan sebagainya. 

“Jadi rakyat perlu tahu kepada siapa mereka mahu serahkan mandat untuk melaksanakan perkara-perkara berkenaan. Jadi kita kena pilih mereka yang benar-benar boleh mewakili kita,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya