Jambatan gantung Lubuk Pedati jadi tumpuan pelancong

Jambatan gantung Lubuk Pedati jadi tumpuan pelancong

JAMBATAN gantung yang dibina oleh Mohd. Fauzi Abdullah menjadi daya tarikan pelancong di Kampung Lubuk Pedati, Baling. - UTUSAN/ NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang lelaki tidak menyangka jambatan gantung di Kampung Lubuk Pedati di sni yang dibina sejak beberapa tahun lalu kini mendapat kunjungan pelancong.

Mohd. Fauzi Abdullah, 50, berkata, sebelum ini, dia hanya membina jambatan buluh untuk kegunaannya serta isteri, Kamariah Salleh, 38, dan anak mereka, Mohd. Saad Zainon, 18, untuk menyeberangi Sungai Ketil seluas 40 meter untuk bekerja di kedai makan.

“Hanya sebuah sahaja rumah kami di seberang sungai dan saya menyediakan sebuah jambatan buluh bagi memudahkan kami menyeberangi sungai tanpa perlu meranduk air untuk mengelak kebasahan ketika pergi kerja.

“Sebelum itu juga kami perlu menaiki motosikal sejauh satu kilometer untuk ke seberang sungai, padahal tempat kerja saya dan isteri hanya di hadapan rumah kami sahaja,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, sebanyak empat kali dia membuat jambatan buluh tersebut sejak lapan tahun lalu, tetapi rosak disebabkan banjir kerana air sungai menghanyutkan buluh-buluh berkenaan.

Justeru, dalam inisiatif terbaharunya, Mohd. Fauzi mula membina jambatan menggunakan kayu yang lebih kukuh dan tinggi agar mereka boleh menggunakannya dalam tempoh yang lama.

“Saya juga guna besi, dawai kabel, kayu dan papan serta kedudukannya lebih 30 kaki tinggi dari paras air sungai sehingga kini menjadi tarikan kepada industri pelancongan.

“Ramai yang datang merakam video dan gambar-gambar menarik di sekitar jambatan dan sungai ini serta menularnya sehinggakan kehadiran pelancong lebih 3,000 orang apabila musim cuti sekolah,” katanya.

Tambahnya, jambatan sepanjang lebih 100 meter yang hanya boleh dinaiki seramai 10 orang dalam satu-satu masa itu tiada sebarang bayaran dikenakan walaupun kos menyiapkannya mencecah lebih RM5,000.

“Tetapi kami sediakan tabung khas bagi sesiapa yang ingin menderma seikhlas hati untuk kegunaan pembaikan jambatan dan sebagainya kerana kewujudannya turut merancakkan ekonomi penduduk tempatan yang berniaga pelbagai jenis makanan di pinggir sungai ini.

“Kami juga bercadang untuk membina tarikan baharu yang lain seperti mengayuh basikal atas tali, ‘rock climbing’ dan aktiviti menarik lain yang boleh digunakan untuk pelancong beriadah di kampung ini,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya