PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bekas Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Kedah, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli tidak akan direman berhubung ucapan berkait isu ‘musuh Allah’, Sabtu lalu.
Menurutnya, Muhd. Zainul sudah memberi keterangan kepada pihak polis dan sudah mengakui kesilapan mengungkap kalimah berkenaan.
“Saya dimaklum oleh pihak polis bahawa mereka sudah pun memanggil Ustaz (Muhd. Zainul) semalam dan beliau mengakui kesilapannya mengungkap kalimah itu.
“Beliau (Muhd. Zainul) tidak akan direman, namun, polis maklum akan teruskan siasatan sebab kertas siasatan sudah dibuka kerana ada aduan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Muhd Zainul hari ini membuat permohonan maaf berhubung ucapannya berkaitan isu ‘musuh Allah’ ketika program Himpunan Kedah Berselawat, Sabtu lalu.
Menerusi video berdurasi lebih tiga minit yang disiarkan di Facebooknya, semalam, penceramah bebas itu berkata ucapannya tidak ditujukan kepada mana-mana pihak dan sudah disalah tafsir.
Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) semalam sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur terhadap pemimpin Pas Kedah itu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, kempen secara 3R (menyentuh bangsa, agama dan raja) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) jika tidak dibendung boleh memberi kesan besar.
“Di Malaysia ini, siapa musuh Allah, ini cerita hendak memilih kerajaan negeri sahaja. PRN kalau tidak dibendung kempen secara 3R ini, akan beri kesan besar terutama kalau datang daripada golongan agamawan dan dalam masyarakat konservatif muslim.
“Biarlah PRN kali ini polisi lawan polisi, kalau Kedah itu polisinya mengenai masalah bekalan air, jadi kita tawarkan, kalau pilih kita, boleh selesaikan masalah itu,” katanya.-UTUSAN