Isi kekosongan jawatan petugas kesihatan di Johor secara berfasa - Onn Hafiz - Utusan Malaysia

Isi kekosongan jawatan petugas kesihatan di Johor secara berfasa – Onn Hafiz

ONN HAFIZ GHAZI berswafoto dengan sebahagian jururawat yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri berharap kekurangan kira-kira 2,800 petugas kesihatan di negeri ini dapat ditangani secara berfasa demi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kekurangan petugas kesihatan pelbagai jabatan termasuk 680 jururawat telah menyebabkan berlakunya kesesakan di hospital dan klinik kesihatan apabila jumlah pesakit terlalu ramai.

“Sebagai contoh di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru yang merupakan hospital awam kedua tersibuk di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur, terdapat kekurangan seramai 200 doktor. Ini antara isu yang kita bangkitkan dalam pertemuan dengan kerajaan Pusat dan kita berharap kekurangan tenaga kerja itu dapat diisi secara berfasa.

“HSA ini sebuah hospital awam yang penting kerana bukan sahaja menerima pesakit dari seluruh Johor, malah dari  negeri berhampiran, iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang kerana kepakaran yang ditempatkan di sini (HSA),” katanya pada Majlis Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohtar Pungut.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut meminta Kementerian Kesihatan (KKM) membuka dua wad kosong di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk kegunaan pesakit dan tidak dibiarkan begitu sahaja.

“Dalam lawatan saya ke HSI semalam, saya dapati Wad Pediatrik dan Wad Kecemasan penuh dengan pesakit sehingga menyebabkan tempoh menunggu mendapatkan rawatan agak lama, antara lima hingga enam jam sedangkan dalam masa sama ada dua wad kosong di tingkat 9 dan 10.

“Kedua-dua wad itu mampu menempatkan sehingga 108 katil. Jadi, saya berharap pihak kementerian dan hospital dapat membuka wad berkenaan untuk kegunaan dan kesejahteraan pesakit di sana,” katanya sambil mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk dimanfaatkan oleh lebih 8,000 jururawat di negeri ini.

Sementara itu, Tian Soon memberitahu, pihaknya akan membentangkan kertas kerja tentang laporan kekurangan petugas kesihatan di negeri ini kepada KKM minggu depan.

“Berdasarkan maklum balas yang kami terima, KKM sangat positif dan mereka akan cuba bantu Johor khususnya kedua-dua hospital utama (HSA dan HSI) untuk tambah staf perubatan dari segi doktor dan jururawat. Bagi dua wad kosong di HSI, KKM maklumkan akan bantu untuk hantar doktor dan jururawat secukupnya bagi memastikan dua wad itu dapat beroperasi juga,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya