TAMPIN: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sebelum ini dilaporkan cedera parah dalam insiden bom lempar meletup ketika latihan di Kem Syed Sirajuddin di Gemas, di sini tengah hari tadi dilaporkan meninggal dunia malam tadi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat, Johor.
Maklumat terbaharu ini menjadikan dua orang maut dalam insiden tersebut selepas seorang lagi anggota TUDM meninggal dunia di tempat kejadian ketika berlangsungnya Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 yang diadakan di Tapak Latihan Grenade Asas, di lapang sasar kem berkenaan.
Anggota TUDM yang meninggal dunia di lokasi kejadian dikenali sebagai Laskar Udara 1, Mohd. Iqmal Masdi, 22 manakala jurulatih yang meninggal dunia di Hospital Segamat ialah Koperal Udara Mohd. Syuib Bidin, 33.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam hantaran di akaun media sosialnya malam ini mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua anggota TUDM yang meninggal dunia itu.
“Mendapat perkhabaran duka kejadian letupan bom lempar yang mengorbankan seorang jurulatih dan seorang penuntut dari Institut Pentadbiran Dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan (Instar) semasa latihan menembak senjata dan bom lempar di Kem Syed Sirajuddin, Gemas Negeri Sembilan petang tadi.
“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Koperal Udara Mohd. Syuib Bidin dan Laskar Udara 1, Mohd Iqmal Masdi. Gugurnya perajurit dalam latihan demi mempertahankan negara. Semoga ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan keredaan dengan ketentuan-Nya jua,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 2.54 petang dari pengadu iaitu seorang anggota tentera berkaitan kematian seorang pelatih semasa latihan bom grenad di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
Menurut beliau, siasatan lanjut masih diteruskan dengan bantuan dari pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang turut berada di tempat kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Buat masa ini siasatan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Terdahulu Markas Tentera Udara menerusi kenyataan mengesahkan berlaku satu insiden kejadian kemalangan melibatkan tiga orang anggota TUDM di Kem Syed Sirajuddin, Gemas di sini.
“Kemalangan berlaku pada pukul lebih kurang 12.10 tengah hari mengakibatkan seorang penuntut meninggal dunia di tempat kejadian. Dua orang jurulatih mengalami kecederaan diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas dan telah dirujuk ke Hospital Segamat.
“Pihak TUDM telah menghubungi waris anggota TUDM yang terlibat dan menyerahkan kes kejadian kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan. TUDM seterusnya akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.-UTUSAN.