Insiden letupan bom lempar: Seorang anggota TUDM cedera kini dilapor stabil - Utusan Malaysia

Insiden letupan bom lempar: Seorang anggota TUDM cedera kini dilapor stabil

DUA orang anggota TUDM yang meninggal dunia dalam insiden letupan bom lempar semasa latihan di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin, petang semalam, dari kiri, Allahyarham Laskar Udara I Mohd. Iqmal Masdi dan Allahyarham Koperal Udara Syuib Bidin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan seorang jurulatih yang terbabit dalam insiden letupan bom lempar semasa latihan di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin, meninggal dunia petang semalam.

Markas Tentera Udara memberitahu, Allahyarham Koperal Udara Syuib Bidin, 33, yang merupakan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (Instar), Pangkalan Udara Sendayan di sini meninggal dunia pada pukul 5.45 petang semalam di Hospital Segamat, Johor ketika diberikan rawatan akibat kecederaan parah yang dialami.

Seorang lagi jurulatih yang dilaporkan mengalami kecederaan parah dalam kejadian tersebut iaitu Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, kini masih menerima rawatan di hospital sama dan dalam pemantauan rapi serta dilaporkan dalam keadaan stabil.

Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku lebih kurang pukul 12.10 tengah hari semalam itu, seorang penuntut Instar, Pangkalan Udara Sendayan, Laskar Udara I Mohd. Iqmal Masdi, 22, meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah akibat letupan bom lempar semasa proses latihan sedang dilaksanakan.

Kejadian berlaku ketika mereka menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPP Kls 1) Siri 78/23 di Tapak Latihan Grenade Asas, Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin.

“Waris anggota yang terlibat telah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan semua urusan kebajikan keluarga mangsa-mangsa yang terlibat diutamakan serta urusan pengebumian disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

“Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan TUDM serta pucuk pimpinan tertinggi TUDM menzahirkan rasa dukacita atas kejadian yang berlaku dan merakamkan salam takziah kepada waris anggota yang meninggal dunia yang juga merupakan kehilangan besar kepada TUDM. 

“Didoakan agar roh kedua-dua Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di dalam kalangan hamba-Nya yang beriman. Selain itu, diharapkan urusan rawatan kepada anggota yang cedera dipermudahkan, dilaksanakan dengan segera serta dikurniakan dengan kesembuhan,” kata kenyataan itu lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN