BACHOK: Ibu kepada pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Muhammad Syahril Saidi, 18, meninggal dunia malam tadi selepas menderita penyakit saraf.
Pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Darul Iman, Beris Lalang itu berkata, ibunya Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga pada pukul 8 malam.
“Arwah Umi (ibu) menghidap penyakit saraf sejak tahun 2019 yang sebelum ini dalam fasa pemulihan. Dia terlantar sakit hampir tiga tahun dan tidak mampu berjalan.
“Pemergian buat selamanya sudah ketentuan Ilalhi dengan asbab sakit dan kami adik beradik sentiasa menyantuninya n penuh kasih sayang sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, berkat menjaga dan menyantuni serta memuliakan ibunya yang terlantar sakit, seorang pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Darul Iman, di sini, tidak menyangka meraih keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.
Muhammad Syahril memberitahu, ahli keluarga mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan kunjungan pelbagai pihak ke rumahnya selepas kejayaan dalam SPM tular di media sosial.
“Apa pun rasanya cukuplah tular pengkisahan tentang kami dan keluarga berakhir di sini. Doakan yang baik-baik untuk arwah dan keluarga kami.
“Jenazah ibu akan disembahyangkan di Masjid Pondok Moden Kandis, Bachok,” ujarnya.-UTUSAN