Henti tajaan: KKM bincang dengan JPA, kaji semula keputusan - Utusan Malaysia

Henti tajaan: KKM bincang dengan JPA, kaji semula keputusan

DR. ZALIHA Mustafa (tengah) menghadiri Majlis Perasmian Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung keputusan untuk menghentikan penajaan jabatan berkenaan kepada pelajar dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, keputusan itu adalah berdasarkan kajian yang telah dibuat kementerian pada tahun 2019 namun menurutnya berkemungkinan terdapat perubahan-perubahan berlaku selepas Covid-19 yang perlu diberikan perhatian.

“Saya maklum tentang perkara tersebut (pemberhentian penajaan) dan ia berdasarkan kepada kajian yang dibuat pada 2019. Kami telah berbincang dengan pihak teratas untuk melihat dan mengkaji kembali keputusan yang dibuat oleh JPA. 

“Kajian yang telah dibuat tahun 2019, ada perubahan-perubahan yang berlaku selepas Covid-19 ini. Mungkin ada perkara-perkara baharu yang boleh kita lihat balik daripada kajian tersebut, mungkin boleh melihat kepada polisi-polisi baharu, apa pun kita akan terus buat perbincangan juga tentang perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.

Kerajaan menghentikan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan kajian KKM mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini berkata, kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan kajian Kementerian Kesihatan mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.

Katanya, Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dapat dicapai pada 2025.

Tambah Armizan, bekalan pegawai perubatan pada tahun 2021 dicatatkan berjumlah 72,812 berbanding permintaan iaitu berjumlah 70,721 dan ekalan pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan memenuhi keperluan permintaan masing-masing pada tahun 2025 dan 2029.

Zaliha dalam pada itu berkata, pihaknya bimbang dengan keputusan berkenaan bakal memberi kesan kepada minat pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

“Sebab apa pun, doktor, skim-skim di bawah perkhidmatan kesihatan seperti jururawat, farmasi memang amat diperlukan. Kita tahu perkhidmatan kesihatan adalah essential (keperluan) dan kami akan lihat secara tuntas isu ini,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya