Hartanah mewah jadi 'buruan' warga Singapura - Utusan Malaysia

Hartanah mewah jadi ‘buruan’ warga Singapura

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR membuat cabutan pada Majlis Undian Terbuka RTBJ Taman Kempas Utama, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hartanah di negeri ini menjadi buruan pembeli dari Singapura ekoran harga rumah persendirian di republik itu terus melambung menjadi yang tertinggi di Asia Tenggara.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, minat yang ditunjukkan oleh pembeli dari negara itu dapat mengurangkan kediaman yang tidak terjual di negeri ini.

Beliau berkata, penganjuran Expo Perumahan Negeri Johor yang akan diadakan pada bulan depan tepat pada masanya dalam mempromosikan hartanah tidak terjual termasuk kediaman bernilai jutaan ringgit.

“Maklum balas daripada pihak pemaju cukup positif setelah pembeli dari Seberang Tambak menunjukkan minat membeli kediaman mewah di negeri ini, secara tak langsung dapat mengurangkan bilangan kediaman tidak terjual di negeri ini.

“Dasar Perumahan Rakyat Johor hanya membenarkan jualan hartanah bernilai RM1 juta ke atas kepada warga asing termasuk dari Singapura. Di Johor terdapat 1,101 rumah atas tanah yang bernilai jutaan ringgit yang masih tidak terjual,” katanya pada Majlis Undian Terbuka Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ) Taman Kempas Utama di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), di sini.

Pada 30 Mei lalu, Urban Land Institute melaporkan harga rumah persendirian di  Singapura mengatasi Hong Kong untuk menjadi yang paling mahal di Asia Pasifik (APAC) pada 2023 dan sewa di negara itu juga tertinggi di rantau ini.

Indeks Kebolehcapaian Rumah APAC 2023 institut itu menunjukkan harga median atau penengah untuk rumah Singapura ialah AS$1.2 juta (RM5.54 juta) berbanding AS$1.16 juta (RM5.34 juta) di Hong Kong pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Jafni berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai usaha bagi mengurangkan kediaman tidak terjual termasuk mengadakan Expo Perumahan Johor pada bulan depan.

Sebanyak 80 peratus kediaman tidak terjual di negeri ini terdiri daripada pangsapuri perkhidmatan terutamanya di Johor Bahru dan Iskandar Puteri dengan sebanyak 11,512 unit merupakan hartanah bernilai RM500,000 hingga RM1 juta,” katanya. 

Mengenai RTBJ, Mohd. Jafni berkata,  kira-kira 1,000 unit kediaman itu akan dibina oleh kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang di beberapa lokasi tumpuan bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah pada masa depan.

Beliau berkata, inisiatif RTBJ itu mendapat sambutan yang amat baik apabila menerima hampir 500 permohonan membabitkan projek rintis RTBJ di Taman Kempas Utama, di sini.

“Bagi projek yang julung kali diadakan ini, kita menawarkan sebanyak 92 unit rumah RTBJ di Taman Kempas Utama dan mendapat 492 permohonan. Pada tahun depan, kita akan menawarkan sebanyak 216 unit RTBJ di kawasan Kulai dan 100 unit di kawasan Iskandar Puteri pada 2026,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya