Harimau kumbang masuk perangkap Perhilitan

Harimau kumbang masuk perangkap Perhilitan

TANGKAP layar video seekor harimau kumbang jantan yang ditangkap selepas masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan di Kampung Solok Baing, Rembau, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seekor harimau kumbang jantan berjaya ditangkap apabila ia masuk dalam perangkap yang dipasang sejak dua bulan lalu di kawasan semak dekat Kampung Kendong, Kota, di sini, kelmarin.

Perangkap bersama umpan anak kambing yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan itu berikutan aduan penduduk mengenai kehadiran binatang buas itu.

Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan Nurul Ermi Ramli berkata, haiwan dengan nama saintifik Panthera Pardus dianggarkan seberat 50 kilogram itu dipercayai memasuki perangkap, Sabtu lalu.

“Harimau kumbang itu kini dirawat oleh doktor veterinar jabatan. Sebanyak enam ekor harimau kumbang berjaya ditangkap di negeri hasil perangkap yang dipasang oleh Perhilitan Negeri Sembilan tahun ini.

“Kami akan terus memberikan khidmat nasihat, pemasangan perangkap dan melakukan pemantauan berterusan membabitkan kes-kes harimau kumbang masuk ke kawasan perkampungan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Walaupun Perhilitan berjaya menangkap seekor harimau kumbang itu, penduduk di Kampung Solok Baing, Rembau tetap bimbangkan keselamatan dan juga haiwan ternakan peliharaan mereka .

Seorang penternak lembu di kampung itu, Badrul Sham Ithnin, 39, kejadian tersebut merupakan kali kedua berlaku di kampung itu selepas seekor harimau kumbang jantan turut ditangkap dua tahun yang lalu.

“Walaupun sudah dua ekor harimau kumbang jantan masuk ke dalam perangkap namun penduduk masih bimbang kerana dipercayai masih terdapat harimau kumbang betina yang berlegar-legar di kawasan berhampiran,” katanya.

Menurut Badrul Sham, haiwan liar itu sudah berani membaham haiwan ternakan yang dibela oleh penduduk.

“Dua tahun lalu, ada seekor harimau kumbang masuk ke dalam perangkap di kampung ini dan ini merupakan kejadian kali kedua. Memang sebelum ini kami tahu harimau kumbang ada berhampiran perkampungan ini namun ia tidak berani membaham binatang ternakan.

“Cuma dua tahun kebelakangan ini sahaja haiwan ini makin berani membaham binatang ternakan dan empat ekor anak lembu saya juga sudah menjadi mangsa harimau kumbang ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN