JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hanya membenarkan pelarian Rohingya yang akan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dipilih berdasarkan kelayakan dengan kuota terhad.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemasukan etnik Rohingya itu tidak akan dibuka sewenang-wenangnya dan tidak ada layanan Istimewa diberikan kepada mereka serta masyarakat tidak perlu bimbang dengan keputusan menerima mereka melanjutkan pengajian di IPT awam.
“Tidak semua etnik Rohingya seperti yang kita lihat di luar, ada dalam kalangan mereka yang berkelayakan. Malaysia sebuah negara yang ramai pelajar antarabangsa datang untuk belajar, jadi ada antaranya Rohingya.
“Sekiranya dia berkelayakan, boleh bayar, mereka boleh memohon melanjutkan pelajaran ke IPT dalam bidang tertentu dengan tempat yang terhad. IPTS (institusi pengajian tinggi swasta) memang terbuka.
“IPT ini bukan ambil semua (Rohingya) masuk semua universiti, tidak. Ini bukan macam berniaga di tepi jalan, hendak masuk ke universiti kena ada kelayakan merit, bukan semua orang boleh,” katanya mengulas kegusaran masyarakat dengan langkah membenarkan pelarian Rohingya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di IPT tempatan.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini hari ini.
Selasa lalu, Penasihat KPT, Prof Emeritus Dr. Morshidi Sirat berkata, pelarian Rohingya yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi akan dapat berbuat demikian tidak lama lagi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Peluang melanjutkan pengajian untuk pelarian itu akan dibiayai menerusi sumbangan Dana Qatar Untuk Pembangunan yang diterima sebelum tahun 2020 berjumlah AS$50 juta (RM231 juta).
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi meminta masyarakat perlu ada rasa simpati terhadap mereka untuk mengubah kehidupan, sekali gus membantu etnik tersebut menjadi lebih baik.
“Tiada apa yang hendak ditakutkan, alangkah indahnya kita dapat menjadikan mereka manusia, takkan kita tiada sifat ihsan kepada mereka. Kita ini hendak jadikan dia berjaya kerana dia juga saudara Islam, kalau balik negara dia akan dibunuh.
“Kalau kita dapat lahirkan mereka yang berjaya, dia boleh betulkan masyarakat dia, kalau kita tidak mulakan, dia akan membiak dan menimbulkan masalah kepada kita. Kita bukan pergi ambil semua masuk universiti, hanya yang layak sahaja,” katanya. – UTUSAN